Persaingan sengit, tempat terhad faktor pelajar gagal ke universiti awam

Persaingan sengit dan tempat terhad bagi program tertentu merupakan antara faktor ramai pelajar tidak layak mendapat tempat di 20 universiti awam (UA). - Gambar hiasan.
Persaingan sengit dan tempat terhad bagi program tertentu merupakan antara faktor ramai pelajar tidak layak mendapat tempat di 20 universiti awam (UA). - Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan persaingan sengit dan tempat terhad bagi program tertentu merupakan antara faktor ramai pelajar tidak layak mendapat tempat di 20 universiti awam (UA).

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Profesor Dr Husaini Omar berkata, tiga program utama tersebut perubatan, perakaunan dan undang-undang.

"Penempatan yang disediakan bagi program perubatan adalah 680 dan 1,931 permohonan pilihan pertama diterima Unit Pusat Universiti (UPU)," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 1,841 pemohon yang layak manakala hanya 629 individu ditawarkan tempat di UA.

"Seramai 1,212 individu yang layak gagal mendapatkan tempat di UA," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin.

Beliau berkata, perkara sama berlaku bagi program perakaunan yang mana 1,444 tempat disediakan dan UPU menerima 5,048 permohonan manakala 1,502 ditawarkan tempat.

"Selain itu kedudukan merit pemohon yang rendah juga antara faktor mereka gagal mendapat tempat di UA," katanya.

Husaini berkata, markah merit adalah terdiri daripada 90 peratus markah akademik dan 10 peratus lagi kokurikulum.

Artikel Berkaitan:


"Sekiranya pemohon memohon menerusi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), markah kokurikulum akan diperoleh daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Manakala mereka lepasan matrikulasi atau asasi, ia diperoleh daripada Bahagian Matrikulasi KPM, Pusat Asasi Universiti Malaya, Pusat Genius @Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Asasi UiTM," katanya.

Ujarnya, sebanyak 115,477 permohonan diterima UPU bagi pengambilan tahun ini manakala 90,745 calon layak dan melepasi syarat am.

"Kita hanya mempunyai 71,615 tempat di 20 UA seluruh negara," katanya.

Husaini berkata, KPT memberi ruang sepenuhnya kepada pemohon dengan 12 pilihan disediakan.

Namun daripada 115,477 permohonan diterima hanya 53,704 sahaja yang mengisi penuh 12 pilihan tersebut.

"Jika mereka mengisi kesemua pilihan, peluang untuk mendapat tempat di UA adalah tinggi," katanya.

Sementara itu menjawab mengenai tuduhan penggunaan "kabel" untuk mendapatkan tempat di UA, Husaini menariknya.

"Persaingan adalah sangat tinggi untuk mendapatkan tempat. Itu menunjukkan suatu yang baik kerana talent yang baik masuk ke universiti," katanya.

Beliau berkata, pemohon yang gagal mendapat tempat di UA bagaimanapun masih terbuka untuk meneruskan pengajian tinggi di universiti swasta.

"Negara kita mempunyai banyak universiti swasta yang menawarkan pelbagai program dan kemudahan pinjaman.

Tambahan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengembalikan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama," katanya.