RM36.91 juta perkasa konsep bandar selamat di Seberang Perai

Azhar
Azhar
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan RM36.91 juta dalam Bajet 2023 untuk memastikan konsep bandar selamat terus diperkasa demi kesejahteraan penduduk.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM780,000 diperuntukkan bagi penyewaan kamera litar tertutup (CCTV) dan RM700,000 diperuntukkan bagi pemasangan CCTV di Taman Bagan dan Kawasan Perindustrian FIZ Perai.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 222 unit CCTV dipasang, sebanyak 198 unit milik MBSP manakala 24 unit milik Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemantauan sepenuhnya di bawah MBSP.

"Pemasangan CCTV ini bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah atau keselamatan orang ramai.

"CCTV ini juga dapat digunakan bagi pemantauan kawasan pembuangan sampah dan penjaja haram, keadaan trafik, lalu lintas dan parkir agar penguatkuasaan dapat dibuat dengan lebih berkesan," katanya ketika membentangkan Bajet MBSP 2023 di Ibu Pejabat MBSP, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Azhar berkata, MBSP memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi penyelenggaraan lampu-lampu jalan manakala RM13.5 juta pula diperuntukkan pada tahun 2023 bagi pembayaran bil-bil lampu awam.

Katanya, MBSP juga telah melantik syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan bangunan dan premis MBSP terjamin.

Beliau berkata, sejumlah RM200,000 diperuntukkan untuk Bekalan Peralatan Keselamatan (OSHAS) bagi kakitangan MBSP yang bekerja di lapangan bagi memastikan kemalangan ketika bekerja dapat dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, MBSP juga menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk bayaran bil utiliti sistem GSM lampu jalan dan lampu isyarat untuk pemantauan kerosakan.

"MBSP juga prihatin terhadap keselamatan pelajar-pelajar sekolah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM35,000 untuk perkhidmatan warden lalu lintas untuk kanak-kanak sekolah di Seberang Perai

"MBSP akan membeli motosikal dengan kos berjumlah RM120,000 untuk memudahkan warden trafik membantu membuat penyuraian lalu lintas di kawasan yang sesak terutamanya di waktu pagi dan petang," katanya.