Pemuda UMNO tegur Sanusi, dakwa kebudak-budakan

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO menegur sikap kebudak-budakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sering mencetuskan kontroversi berbanding memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Muhammad Sanusi sewajarnya memperjelaskan lima perkara yang mengalami kemerosotan ketika pentadbirannya berbanding gemar mencetuskan isu.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO meminta Muhammad Sanusi tidak lagi mempamerkan sikap biadap terhadap kerabat diraja dengan mencetuskan pertelingkahan khususnya dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya sarankan agar Muhammad Sanusi fokus kepada isu perkhidmatan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang merudum ketika bawah pentadbirannya.

"Beliau juga wajar mengembalikan tumpuan kepada langkah-langkah bagi mengekang tragedi kepala air berulang di lokasi berisiko lain berikutan musim tengkujuh," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Syed Mohd Johan Rizal juga meminta Muhammad Sanusi mengambil tindakan proaktif untuk berdepan risiko sebagai negeri pertanian daripada ancaman perubahan iklim global.

"Beliau juga perlu mencari punca sebenar prestasi hambar skuad KDA FC yang mencorot, sebelum 'tertomoih' ke liga lebih rendah pada musim hadapan.

"Ini termasuk prestasi kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Kedah yang gagal capai sasaran 25 emas malah mencatatkan prestasi menurun apabila hanya mampu raih kutipan 16 emas, berkurangan berbanding Sukma 2018 di Perak," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dipetik berkata, mana-mana individu perlu mempunyai hati yang kuat dan tidak mudah 'koyak' jika mahu berdebat dalam sesuatu isu.

Tanpa merujuk kepada sesiapa, namun dipercayai ia membabitkan 'perang mulut' antara Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail selaku pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), berhubung isu bola sepak negara di media sosial.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja menjejaskan imej Menteri Besar Kedah yang disandangnya, malah menggalakkan rasa kurang hormat rakyat kepada Raja-Raja Melayu.

"Beliau menunjukkan contoh yang buruk kepada rakyat khususnya generasi muda selain memalukan negeri Kedah.

"Memupuk budaya negatif seperti itu bukanlah satu amalan matang sebagai pemimpin kerajaan negeri," katanya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah itu turut tegaskan, sikap ADUN Jeneri itu turut menjejaskan imej Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

"Tidak perlu mencipta publisiti murahan dengan taktik sebegitu, lebih baik beliau beri tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam negeri sejak mentadbir.

"Saya ikhlas menegur Muhammad Sanusi untuk kebaikan, apatah lagi tempoh beliau sebagai Menteri Besar hanya berbaki beberapa bulan sahaja.

"Usahlah buang masa mencari gaduh di media sosial, banyak lagi kerja penting yang harus beliau laksanakan," ujarnya lagi.