'Panas tak apa, jangan koyak' - Sanusi

Muhammad Sanusi (dua kanan) dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Sungai Petani pada Jumaat.
Muhammad Sanusi (dua kanan) dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Sungai Petani pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Mana-mana individu perlu mempunyai hati yang kuat dan dan tidak mudah 'koyak' jika mahu berdebat dalam sesuatu isu," kata Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Tanpa merujuk nama sesiapa ataupun mana-mana pihak, Muhammad Sanusi berkata, individu tersebut tidak boleh mudah berasa hati dan tahu mengadu sahaja.

“Kalau nak bertujai (bertikam lidah) dengan orang lepas itu balik mengadu kat pak (bapa) baik tak payah.

"Panas tak apa, jangan koyak. Koyak teruk sangat, cuit sikit sahaja pun. Manja sangat anak sapa ha (ya). Hati mau brutal, baru boleh nak bertujai.

“(Hati) mau keras la sikit. Agak nak koyak pi habaq (mengadu) kat pak teruk la lagu tu (macam itu), baik toksah (tak payah) berkawan dengan orang,” katanya semasa berucap pada perasmian Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Sungai Petani pada Jumaat.

Semasa ditemui pada sidang akhbar, Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut ucapannya itu, namun dipercayai membabitkan 'perang' antaranya dan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai isu bola sepak negara di media sosial.

Pada Khamis, Muhammad Sanusi dalam status Facebooknya telah memuat naik kenyataan bahawa sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan terhadap orang lain dan bukan hanya seseorang individu boleh melakukan apa-apa yang dimahukannya.

“Yang nampak dok kalut (masuk campur) pasai jurulatih pasukan lain tu pasai (sebab) apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct macam dia dok call jurulatih team lain sebelum ini kot.

“Cerita dia nak ambil balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dgn player direct sahaja suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun, nampak tak kerek dia?” tulisnya pada hantaran tersebut.

Selepas itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) kemudiannya memuat hantaran di Instastory Instagram milik baginda seakan memberi maklum balas kepada kenyataan Muhammad Sanusi itu.

Hantaran yang mempunyai poster karikatur ikon makanan segera yang diubah menjadi seorang badut turut menulis perkataan ‘Suweynasi’ termasuk gambar seekor burung yang berwarna hijau kuning.

Tidak menyebut nama mana-mana individu, TMJ memaklumkan lebih baik individu tersebut menutup mulut kerana semakin banyak dia bercakap akan menampakkan kebodohan.

“Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomi gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal atau failure,” tulis TMJ yang kemudiannya memadam status berkenaan.

Tidak berhenti di situ, Menteri Besar Kedah kemudiannya membalas dengan memuat naik hantaran terbaharu dengan menyatakan ‘Panaih tak paa, koyak jangan la’ sambil memaparkan tangkap layar akaun Instagram TMJ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!