Bekas pengarah AADK mengaku salah terima rasuah

Mohamad Yusof (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Mohamad Yusof (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM400 bagi kegunaan jabatan.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, membuat pengakuan itu di atas pertuduhan pilihan kedua selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengarah AADK Melaka telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang mana tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohamad Yusof di pejabat AADK di Ayer Keroh di sini pada 22 Jun 2018.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pada Mac 2018 tertuduh telah menghubungi Budyarif dan memanggilnya ke pejabat bagi mendapatkan perkhidmatan bekalan beg kertas.

Dalam perbincangan itu, tertuduh telah meminta agar Budyarif memberikan wang sebanyak RM400 untuk kegunaan pejabat AADK dengan cara menaikkan sebut harga menjadi RM4,630 melalui Syarikat Mutiara Event Management & Supplies.

Pada 21 Jum 2018, Budyarif telah membuat pengeluaran secara cek tunai dan menyerahkan sebahagian RM400 kepada tertuduh seperti diminta untuk melaksanakan program jabatan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh memohon agar hukuman denda diberikan dengan alasan tertuduh telah memberikan perkhidmatan cemerlang selama 30 tahun berkhidmat iaitu sejak 1992 dan ralat kejadian itu berlaku di akhir tahun persaraannya.

Dia juga telah insaf dengan kejadian itu yang telah mencemarkan nama dirinya serta keluarga.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor kesalahan serius dan kepentingan awam.

Nur Syakila juga memohon mengguna pakai TIC (Take Into Consideration) membabitkan tiga lagi pertuduhan yang sebelum ini didakwa atas tertuduh dengan memasukkan hukuman yang lain ke satu pertuduhan iaitu pertuduhan dengan nilai perolehan yang paling tinggi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu atau penjara enam bulan jika gagal bayar dan bersetuju tiga lagi pertuduhan diambil kira sebagai TIC.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Media pada 18 Februari lalu melaporkan bekas Pengarah AADK Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan tindakan menerima suapan bernilai RM5,900 penyenggaraan dan pembekalan agensi itu lima tahun lalu.