33 premis diberi notis fasad bangunan kotor, berlumut

Fasad bangunan yang tidak dijaga membuatkan sesebuah bandar tidak lestari dan cantik. - Foto 123RF (Gambar kecil: Norkamawati)
Fasad bangunan yang tidak dijaga membuatkan sesebuah bandar tidak lestari dan cantik. - Foto 123RF (Gambar kecil: Norkamawati)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 33 notis arahan telah keluarkan kepada pemilik premis di sekitar daerah ini kerana gagal memastikan fasad bangunan dalam keadaan baik.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Kamawati Kamal berkata, kegagalan itu dikesan anggota penguatkuasa MBK ketika memeriksa fasad luar bangunan di sekitar Jalan Tanah Putih, Jalan Mahkota dan Teluk Sisik pada 21 dan 22 September lalu.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan bagi memberi fokus kepada keadaan kebersihan, keselamatan dan risiko kepada kesihatan awam bangunan di sekitar daerah ini.

"Hasil pemeriksaan kita didapati bangunan di tiga lokasi itu dengan keadaan fasad yang kotor, berlumut, terdapat pokok-pokok yang tumbuh pada bangunan dan papan iklan yang telah pudar, usang dan berbahaya.

"Jadi, kita ambil tindakan di bawah seksyen 75 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan mengeluarkan 33 notis arahan kepada pemilik-pemilik bangunan terutamanya yang terletak di jalan-jalan utama dan tempat-tempat tumpuan pelancong untuk mengecat bangunan mereka yang fasad dalam keadaan buruk," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau menjelaskan, bangunan yang tidak dijaga akan menjadikan bangunan sesebuah kawasan tidak menarik sehingga menimbulkan pemandangan yang menyakitkan mata dan menjejaskan imej Bandaraya Kuantan.

Tambahnya, ia juga boleh menjejaskan kesihatan umum terutamanya kepada orang ramai yang melalui bangunan mahupun yang mendiami bangunan-bangunan berkenaan.

Justeru menurutnya, pemilik-pemilik bangunan harus mempunyai kesedaran dan inisiatif sendiri bagi memastikan fasad bangunan mereka dalam keadaan baik, bersih dan cantik.

Artikel Berkaitan:

"Antara langkah yang seharusnya diambil oleh pemilik bangunan termasuklah membersihkan dan mengecat dinding bangunan agar ia kelihatan menarik dan kemas.

"Bila bangunan dapat dijaga dengan baik ia akan memberi impak kepada keceriaan bandar raya dan secara tak langsung memberi kesan baik kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan dalam bangunan," jelas Nor Kamawati lagi.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, operasi ini akan diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain dalam Bandaraya Kuantan bagi memastikan pemilik bangunan memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk terpelihara, selain ia dapat memberi imej yang baik kepada bandar raya.

"Diharapkan perkara ini mendapat kerjasama penuh daripada semua warga Kuantan bagi meningkatkan keindahan dan imej Bandaraya Kuantan," ujarnya.