82 pegawai saman Ketua Polis Ghana kerana gagal naikkan pangkat

Ketua Polis Negara Ghana, George Akuffo Dampare. - Foto Agensi
Ketua Polis Negara Ghana, George Akuffo Dampare. - Foto Agensi
A
A
A

ACCRA - Kira-kira 82 pegawai menyaman Ketua Polis Negara (IGP), George Akuffo Dampare dan Perkhidmatan Polis Ghana kerana gagal menaikkan pangkat mereka walaupun layak.

Kesemua plaintif diketuai Inspektor Kofi Osal memfailkan saman pemula termasuk terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Tinggi Accra pada minggu lalu.

Plaintif mendakwa dilayan secara tidak adil oleh Dampare dan dua defendan selain diberi penjelasan yang berubah-ubah.

Selain tidak dinaikkan pangkat, plaintif mendakwa kemasukan mereka ke Maktab Polis selepas berjaya menamatkan pengajian pada tahun akademik 2017/2018 turut disekat.

Dalam pernyataan tuntutannya, kesemua plaintif berasa berhak dan layak dinaikkan pangkat selepas menamatkan pengajian di bawah skim cuti belajar bergaji penuh.

"Setiap plaintif telah dipilih dan dimasukkan ke dalam bon yang diperlukan untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis selepas menamatkan pelbagai kursus selama sekurang-kurangnya lima tahun.

"Bagaimanapun beberapa bulan selepas menamatkan kursus, kami masih lagi tidak dinaikkan pangkat dan dinafikan kemasukan ke Maktab Polis," ujar Osal. - Agensi