PM kotakan janji martabatkan bahasa Melayu di mata dunia

Laporan Sinar Harian. Gambar kiri: Zaluzi
Laporan Sinar Harian. Gambar kiri: Zaluzi
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengotakan janji beliau untuk memartabatkan dan kedudukan bahasa Melayu di mata dunia.

Ketua Bahagian UMNO Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman berkata, janji tersebut ditunaikan apabila Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu itu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu.

"Kejayaan Perdana Menteri membawa bahasa Melayu untuk didengari dunia bukan satu kejayaan yang biasa dan kecil.

"Ia satu penganugerahan tertinggi kepada martabat dan kedudukan bahasa Melayu di mata dunia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 26 Februari lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Zaluzi berkata, selama ini orang Melayu kagum dan bangga bila mendengar kawan-kawan berbangsa Tiong Hua dan India petah dan fasih berbahasa Melayu.

"Inikan pula mendengar ucapan seorang Perdana Menteri yang mewakili Malaysia berpakaian baju Melayu dan menyampaikan ucapan di pentas dunia di dalam Dewan PBB dalam bahasa Melayu.

"Sudah pasti saya bangga dan amat kagum walau terpaksa menunggu jam 4 pagi waktu Malaysia (untuk mendengar ucapan)," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Zaluzi menegaskan, walaupun pemimpin terdahulu tidak berkesempatan memperjuangkan bahasa sampai ke tahap itu tetapi Ismail Sabri telah terbukti berjaya mengotakan janji beliau dalam memartabatkan bahasa dan bangsa.

Menurutnya, ia merupakan permulaan kepada kejayaan seterusnya dalam untuk untuk terus memperkasakan bahasa Melayu.

"Membawa suara Malaysia dan membuat pendirian tegas Kerajaan Malaysia terhadap beberapa isu global terutama soal penyalahgunaan kuasa veto dan kepentingan demokrasi sebenar yang harus dimainkan PBB, menjadikan Malaysia antara negara membangun yang berani bersuara dan mendapat pengiktirafan dunia.

"Ia harus diraikan setiap warganegara yang mencintai bahasa rasmi negara tanpa mengira sempadan kaum, etnik dan agama. Ini merupakan kejayaan rakyat Malaysia," tambah Zaluzi.

Zaluzi berkata, dengan perkembangan terbaru itu rakyat kini boleh berbangga dengan bahasa Melayu.

"Kita juga harus menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang mampu dan akan menyatukan segala perbezaan kaum serta agama agar negara tidak digugat dengan perpecahan kaum yang pernah dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara," katanya.