PM rakam sejarah bahasa Melayu dengan tinta emas

Ismail Sabri berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

TARIKH Keramat 23 September 2022 menandai lembaran bersejarah bagi bahasa Melayu dan negara Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah merakam sejarah bahasa Melayu dengan tinta emas.

Untuk kali pertama sesudah 65 tahun negara merdeka dan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahasa Melayu digemakan oleh pemimpin tertinggi negara di PBB.

Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seluruh warga kerja DBP yang memegang amanah menjaga maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas ketegasannya mengangkat bahasa negara di pentas dunia, lebih-lebih lagi di Perhimpunan Agung PBB, forum tertinggi dunia.

Semua pejuang bahasa dan warganegara Malaysia turut memberikan penghargaan yang sama.

Media kerajaan seperti RTM dan media-media lain di negara ini patut menyiarkan ucapan Perdana Menteri kita di PBB itu seluas-luasnya sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada langkah mulia dan terpuji beliau.

Institusi pendidikan, baik sekolah mahupun institusi pengajian tinggi dan semua jabatan kerajaan perlu berbuat langkah yang sama agar semangat patriotisme yang ditampilkan oleh Perdana Menteri dihayati dan diteladani oleh semua warganegara.

Malah semua media patut menyediakan ruangan khas untuk membolehkan seluruh lapisan rakyat menyampaikan pernyataan tahniah dan penghargaan kepada PM sebagai adiwira negara.

Semua pemimpin lain di negara ini, di peringkat persekutuan, negeri dan badan berkuasa awam wajib menyusuli langkah mulia Perdana Menteri itu dengan berucap dalam bahasa negara di semua majlis dan forum di negara dan peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Jangan ada yang bersikap dingin dan tidak menyertai Perdana Menteri (apatah lagi bercanggah) dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Demikian juga semua penjawat awam, pemimpin institusi pengajian ilmu, pemimpin korporat dan semua pihak lain mesti menyokong pendirian dan langkah terpuji Perdana Menteri itu dan turut melaksanakannya.

Tidak ada alasan sesiapa pun di negara ini untuk meremehkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa, rasmi, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bidang lain.

Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan untuk menjadi asas jati diri dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Penggunaan dan pengajaran bahasa lain tidak dilarang dalam bidang yang di luar urusan rasmi.

Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ditetapkan menjadi penggerak komunikasi pentadbiran negara. Menurut Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan, tiga lapis pentadbiran negara wajib menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi asas kecekapan dan keberkesanan jentera pentadbiran negara.

Bayangkan kecelaruan yang berlaku jika lebih daripada satu bahasa digunakan dalam urusan pentadbiran negara. Sampai saatnya semua penjawat awam berusaha menggunakan bahasa Melayu semaksimumnya dalam pentadbiran negara.

Tidak wajar lagi mesyuarat berlangsung dalam bahasa asing atau dalam bahasa yang bercampur-baur.

Dalam bidang pendidikan, penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pengajian menjadi asas pendemokrasian pendidikan melalui penggunaan bahasa penghantar yang sama. Tidak berlaku keadaan dua darjat dalam pemerolehan ilmu dan peluang kerjaya bagi anak didik.

Bahasa lain masih ada ruang penggunaannya sebagai nilai tambah tetapi bukan pengganti bahasa negara. Pengalaman negara lain yang berjaya di dunia menujukkan bahawa bahasa negara menjadi asas keyakinan diri yang tinggi dan kemajuan dalam acuan sendiri.

Dalam bidang lain seperti undang-undang, ekonomi dan di tempat awam, penggunaan bahasa Melayu mempunyai erti penting. Undang-undang yang diungkapkan dan dilaksanakan dalam bahasa Melayu mewakili pandangan sarwa dan budaya negara.

Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi memberikan nilai tinggi kerana ekonomi menjadi asas kehidupan mana-mana bangsa. Dalam hal Ini, wujudnya ratusan warkah dan perjanjian perdagangan dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi dalam zaman Kesultanan Melayu pada abad 15-19 Masihi membuktikan bahasa Melayu sebagai bahasa perdangangan sedunia.

Pengembalian semula taraf itu mesti diusahakan. Penggunaan bahasa Melayu di tempat awam pula menzahirkan citra atau imej kenegaraan dan pembebasan negara daripada citra asing.

Di peringkat antarabangsa, usaha DBP sejak tahun 1980-an telah berjaya meningkatkan martabat bahasa dan Pengajian Melayu di dunia. Terdapat lebih 100 buah institusi pengajian ilmu di Amerika Utara, Eropah, Asia Timur, Asia Tengah dan Oceania dan beberapa wilayah lain yang mempunyai pusat pengajian Melayu.

Perkembangan pesat bahasa Melayu di negara China, misalnya membuktikan penerimaan negara luar kepada bahasa Melayu. Kini 13 universiti di negara itu menawarkan program ijazah bahasa Melayu empat tahun selain beberapa universiti menawarkan kursus untuk bidang perniagaan dan kolej yang menawarkan program diploma bahasa Melayu selama tiga tahun.

Dengan adanya Program Diplomasi Budaya yang menjadi antara bahagian penting dalam Kerangka Dasar Luar Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada bulan Disember 2021, usaha mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa mempunyai laluan yang terbuka luas.

Syaratnya ialah perancangan dan pelaksanaan yang tekal dan berterusan oleh semua pihak, baik Kementerian Luar Negeri, khasnya Perwakilan Diplomatik Malaysia sedunia dengan dukungan DBP, ITBM dan kementerian serta agensi yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa.

*Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),