RM40 juta bantu usahawan, koperasi

Noh (kanan) tandatangani plak pada gimik perasmian cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang hari ini. - Foto Bernama
Noh (kanan) tandatangani plak pada gimik perasmian cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Bank Rakyat memperuntukkan dana sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan dan perniagaan koperasi sektor pendidikan serta masjid.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu akan disalurkan melalui dua jenis kemudahan pembiayaan iaitu BR ProNiaga dan BR KOPLestari.

Noh berkata, pembiayaan itu seiring dengan saranan kerajaan untuk menawarkan pilihan produk perbankan, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan.

"BR ProNiaga memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu golongan profesional yang terjejas pendapatannya sebelum ini akibat pandemik Covid-19 dan kini menceburi bidang perniagaan dengan menjadi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Manakala, BR KOPLestari memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu melestarikan perniagaan daripada sektor pendidikan seperti koperasi sekolah, koperasi institusi pendidikan tinggi (IPT) koperasi guru serta koperasi masjid yang berdepan dengan pelbagai kekangan untuk meneruskan perniagaan dalam fasa peralihan ke endemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Muslimin Yahaya.

Noh berkata, permohonan pembiayaan itu boleh dibuat bermula hari ini di semua cawangan Bank Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Bagi usahawan mikro, pinjaman yang ditawarkan di antara RM10,000 dan RM50,000 manakala bagi usahawan profesional pula, pinjaman boleh mencecah sehingga RM150,000,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, Bank Rakyat turut memperkenalkan produk penulisan wasiat dan rujukan pentadbiran harta pusaka yang dikenali sebagai Wasiat Rakyat dan Pusaka Rakyat yang bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarat tentang kepentingan pengurusan harta semasa masih hidup.

Beliau berkata, baru-baru ini juga bank tersebut turut memperkenalkan produk pelaburan sulung mereka iaitu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat yang membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan patuh Syariah. - Bernama