Ke arah kembalikan autonomi Parlimen, bebas daripada eksekutif

A
A

KUALA LUMPUR - Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini dalam usaha mengukuhkan lagi institusi itu dan mengubah persepsi yang badan itu sekadar tempat meletakkan "rubber stamp", kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Menurut beliau, usaha ke arah mengaktifkan semula akta itu yang dimansuhkan pada tahun 1992 sedang giat dijalankan dan merupakan sebahagian penting manifesto Pakatan Harapan bagi mengembalikan autonomi Parlimen, lantas menjadikan Parlimen badan yang bebas daripada eksekutif.

"Saya yakin dengan iltizam politik yang kuat dalam penggal ini, kami akan berjaya melakukan pembaharuan Parlimen secara komprehensif dan menjadikannya institusi yang disegani dan bukan lagi digelar (tempat) rubber stamp seperti dulu, " katanya ​dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) baru-baru ini.

Katanya, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen akan menjadikan institusi itu sebagai institusi bebas, mempunyai belanjawan dan kakitangan awamnya sendiri yang tidak tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan ​​​​​​​Awam. Pada masa ini, Parlimen masih tertakluk di bawah Jabatan Perdana Menteri dan belanjawannya tertakluk kepada garis ​​​​​​​panduan kementerian, dan Ahli Parlimen Teluk Intan itu yakin langkah-langkah reformasi yang dilakukan akan ​​​​​​​mencerminkan kedudukan atau status sebenar Parlimen Malaysia.

Mengulas lanjut reformasi yang sedang dilakukan dan bakal membawa sistem Parlimen negara ini ke era yang matang dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Nga berkata penambahbaikan telah dilakukan terhadap sesi soal jawab di mana kini jumlah soalan yang dijawab meningkat kepada 15 berbanding lapan sahaja dahulu.

Malah, menurut beliau, janji Kerajaan PH untuk memperkuatkan mekanisme semak dan imbang juga semakin terserlah apabila kini sudah ada 15 Jawatankuasa Pilihan Khas berbanding tiga hingga empat di bawah kerajaan Barisan Nasional.

"Dalam matlamat kita ada, semua kementerian akan dipantau oleh jawatankuasa pilihan khas yang terdiri daripada wakil pembangkang dan juga wakil kerajaan, maka ia akan melahirkan satu sistem semak dan imbang yang lebih sihat dan komprehensif," kata Nga.

Menurut Nga, satu lagi pembaharuan yang sedang dikaji ialah mengadakan "The Ministry Day” memandangkan dalam ​​​​​​​amalan sedia ada, setiap hari soalannya bertaburan di antara semua kementerian dan menteri. "Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan di mana kita mencadangkan The Ministry Day, sebagai contoh setiap Isnin, ​​​​​​​Kementerian Kewangan, setiap Selasa, Kementerian Pendidikan dan seterusnya. Kita akan tahu hari untuk kementerian siapa, mereka wajib hadir," katanya.

Nga juga berkata Parlimen bercadang mencontohi "The House of Common UK” iaitu dicadangkan supaya diadakan "Masa Soalan Perdana Menteri" yang akan dijawab sendiri oleh Perdana Menteri.

Satu lagi pembaharuan Parlimen yang sedang dipertimbangkan ialah untuk mengadakan "Hari Untuk Pembangkang" di mana agenda mesyuarat Dewan Rakyat tidak ditentukan oleh kerajaan tetapi oleh Pembangkang,

"Ini memerlukan kematangan berpolitik kedua-dua belah pihak sama ada pembangkang atau wakil kerajaan perlu ​​​​​​​meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik," kata Ng, 46, yang menjadi Ketua Pembangkang pada usia 27 tahun di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam janji 16 manifesto Pakatan Harapan untuk mengembalikan wibawa institusi Parlimen, jawatan pengerusi ​​​​​​​Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kini dikhaskan untuk Ahli Parlimen pembangkang. -Bernama