'Hari ini tugasan terakhir saya' - Pengerusi SPR

Abdul Ghani ketika meninjau proses undi awal di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu pada Selasa.
Abdul Ghani ketika meninjau proses undi awal di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu merupakan tugasan terakhir Tan Sri Abdul Ghani Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum bersara pada Khamis ini.

Abdul Ghani, 66, bagaimanapun mendoakan proses pengundian yang akan berlangsung pada Sabtu ini berjalan dengan lancar dan baik.

"Hari ini (Selasa) merupakan tugasan terakhir saya untuk melaksanakan proses mengundi di mana pada 9 Mei ini hari terakhir saya selaku Pengerusi SPR.

"Saya doakan supaya ia berjalan lancar dan sempurna, walaupun selepas ini sya tidak lagi bersama SPR tetapi hati dan jiwa saya bersama mereka.

"Saya juga sedia membantu apa yang patut jika diperlukan," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses undi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai pengalaman pilihan raya yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai orang nombor satu SPR sejak Ogos 2020 lalu, Abdul Ghani berkata, tempoh Covid-19 menjadi kenangan 'pahit dan manis' baginya.

"Pilihan raya zaman Covid-19 paling seronok dan dan diingati. Paling saya tidak boleh lupakan kes di Melaka, yang mana Pegawai Pengurusnya dijangkiti Covid-19.

"Ketika ini beliau terpaksa memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika hendak serah borang pencalonan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya perancangan beliau selepas bersara, Abdul Ghani yang juga bekas Setiausaha SPR berkata, hasratnya buat masa ini adalah untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau bagaimanapun mengakui ada menerima tawaran daripada dua buah syarikat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Buat masa ini saya belum beri jawapan (kepada tawaran yang dibuat) kerana ingin berehat terlebih dahulu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!