KPM ambil serius kes salah laku seksual

Fadhlina ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa.
Fadhlina ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus menambah baik garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah bagi menangani peningkatan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penegasan semula perlu dilakukan agar kanak-kanak ini memperoleh kepercayaan bahawa mereka sentiasa dilindungi dan mempunyai tempat selamat membuat aduan.

Menurutnya, ketika ini guru-guru di semua peringkat sekolah telahpun diberikan latihan penekanan advokasi antigangguan seksual sebagai suatu inisiatif memberi kesedaran.

Fadhlina melawat pameran Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Perpustakaan Raja Ashman Shah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.
Fadhlina melawat pameran Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Perpustakaan Raja Ashman Shah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

"Misalnya di peringkat guru sukan, kita memperkenalkan kod sukan selamat bagi memastikan anak-anak murid kita dapat membuat aktiviti dengan selamat daripada sebarang gangguan seksual.

"Bermakna kita menegaskan semula tentang pengurusan antigangguan seksual, proses aduan dan tindakan yang mesti diambil segera sebaik sahaja guru tahun tentang perilaku-perilaku tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin bin Abu Hanipah; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Memberi contoh kes rogol beramai-ramai kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kelantan pada tahun lalu, polis tidak dapat meneruskan kes itu berikutan semua suspek berumur bawah 10 tahun menyebabkan mereka dikecualikan daripada tuduhan jenayah.

Fadhlina berkata, KPM memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap setiap kes yang berlaku dan dilaporkan membabitkan murid sekolah.

"Saya sudah sebut sebelum ini jika berlaku dalam sekolah, 'you touch you go', itu memang pendekatan dan penegasan yang telah kita berikan sebelum ini," katanya.

Beliau turut memberitahu, kementerian lebih awal telah mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk kerjasama merentasi kementerian bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Katanya, contoh terbaru adalah dengan menganjurkan Konvensyen Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual pada Mac lalu.

"Ketika ini komitmen daripada ibu bapa diperlukan untuk memastikan keluarga itu mesti selamat dahulu dan kemudian barulah di peringkat sekolah yang biasanya kita akan menjadi tempat untuk mendapat aduan-aduan tersebut.

"Jadi sebab itu saya percaya persiapan peringkat sekolah ini amat penting khususnya melatih guru dan memberi kesedaran kalangan murid," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!