Masih guna sawar angin elak rumah dibadai tiupan monsun

Rudi menggantikan dahan kelapa yang sudah luruh dengan dahan baharu bagi memastikan sawar angin dibina tetap kukuh. Gambar kecil: Rudi
Rudi menggantikan dahan kelapa yang sudah luruh dengan dahan baharu bagi memastikan sawar angin dibina tetap kukuh. Gambar kecil: Rudi
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas di Sabak di sini menjadi satu-satunya penduduk asal di pesisir pantai itu yang masih kekal menggunakan kaedah sawar angin daripada pokok kelapa bagi melindungi kediamannya.

Lelaki tersebut, Rudi Sulung, 61, berkata, kaedah sawar angin itu digunakan sejak dahulu dan dibina di pekarangan rumahnya yang terletak dalam jarak sekitar 100 meter dari pantai Sabak bagi mengurangkan impak tiupan angin Monsun Timur Laut pada November sehingga Mac.

Katanya, cara membina sawar angin tersebut dipelajari daripada nenek moyang yang merupakan penduduk asal di kampung pesisir pantai itu.

“Zaman dulu, perkampungan pantai Sabak ini ada kira-kira 300 buah rumah dan keluarga, namun kampung kami sudah tenggelam dalam laut kerana kesan hakisan manakala penduduk pula berpindah ke kawasan lain seperti Pulau Gajah.

“Saya sendiri sudah tiga kali berpindah daripada tapak asal rumah keluarga yang tenggelam di tengah-tengah laut di kawasan pantai Sabak ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Sabak di sini pada Isnin.

Rudi berkata, hanya tinggal rumahnya sahaja yang masih kekal dengan binaan kayu di kawasan itu manakala rumah penduduk lain sudah bertukar binaan kepada batu-bata.

“Tak seperti rumah batu, kalau tak ada sawar angin ini, rumah kayu boleh bergegar dan atap zink yang dipaku pun boleh tercabut kerana angin yang terlalu kuat.

Artikel Berkaitan:


Zakaria
Zakaria

“Selain dahan pokok kelapa dan daunnya, sawar angin didirikan dengan menggunakan buluh dan kayu yang dipacak sedalam hampir semeter sebagai tapak supaya lebih kukuh untuk menghadang tiupan angin kencang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk asal di kampung itu, Zakaria Abdul Rahman,66, berkata, dia sudah berpindah ke Kampung Tanjung Kuala Sabak sejauh sekilometer dari pantai sejak 30 tahun lalu selepas rumah asalnya ditenggelami laut.

Mengimbau kenangan lalu, dia memberitahu tidak dapat melupakan ketakutan ketika angin kencang semasa Monson Timur Laut yang menghempas rumah didiami dan binaan sawar angin dibuat bagi mengurangkan kesan itu.

“Dulu keadaan susah, masuk sahaja bulan Oktober semua penduduk akan sibuk membina sawar angin di kawasan rumah masing-masing.

Sawar angin dahan pokok kelapa boleh mengurangkan kesan tiupan angin.
Sawar angin dahan pokok kelapa boleh mengurangkan kesan tiupan angin.

“Sawar angin yang dibina itu akan kekal lama dan hanya akan ditukar bahagian dahan pokok kelapa yang gugur daunnya.

“Biasanya sawar angin ini boleh bertahan selama dua hingga empat tahun dan dahan baharu akan ditukar bersilih ganti bagi memastikannya terus kukuh menahan angin. Kalau runtuh, bina lagi yang baharu,” katanya.