SKN 2.0 strategi ketenteraan bagi depani ancaman baharu

Affendi (tengah) menunjukkan dokumen SKN 2.0 yang dilancarkan selepas berakhirnya perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke 89 bertempat di Pangkalan Udara Kuantan di sini pada Isnin.
Affendi (tengah) menunjukkan dokumen SKN 2.0 yang dilancarkan selepas berakhirnya perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke 89 bertempat di Pangkalan Udara Kuantan di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 adalah strategi terkini pembangunan pertahanan nasional bagi mendepani ancaman baharu yang semakin kompleks dan dinamik pada ketika ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ia menjadi sebuah dokumen strategi terkini yang relevan, berkesinambungan dan praktikal dalam memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada di landasan yang ditetapkan.

Menurutnya, penerbitan dokumen ini bagi mendukung aspirasi pertahanan negara dengan menjadikan Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Pertahanan Negara sebagai sumber rujukan utama.

"Dokumen ini menjelaskan perancangan strategik ketenteraan yang digubal secara holistik dan inklusif bagi mencapai objektif-objektif ketenteraan, sekali gus membolehkan Angkatan in mendapat kelebihan strategik dalam apa jua keadaan.

"Ia juga membolehkan membolehkan ATM mengaplikasikan opsyen ketenteraan berjulat luas dan menjadi asas kepada pembangunan pertahanan nasional sekali gus menjadikan ATM mampu mendepani ancaman masa kini.

“Justeru, saya mahu kesemua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga ATM di ketiga-tiga perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bersama-bersama saya, membuat lonjakan paradigma, daripada SKN terdahulu kepada SKN 2.0, melalui proses belajar, tidak belajar dan belajar semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke 89 bertempat di Pangkalan Udara Kuantan di sini pada Isnin.

Affendi menjelaskan dokumen SKN 2.0 yang dilancarkan secara tidak langsung menyebabkan dokumen SKN yang sebelum ini terbatal.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, dokumen ini penting kerana dunia kini berdepan dengan ketidaktentuan keadaan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau, serta global yang semakin kompleks dan dinamik.

Tegasnya, dalam situasi ini, pelbagai ancaman baharu boleh datang dengan pelbagai cara antaranya melalui Peperangan Hibrid.

"Peperangan ini yang boleh memutuskan hubungkait sistem dan struktur pemerintahan negara hingga akhirnya memusnahkan kedaulatan sesebuah negara tersebut secara keseluruhannya.

“Contoh terbaik boleh kita ambil adalah konflik semasa yang sedang berlalu di Ukraine, kita boleh lihat bagaimana keamanan sesebuah negara berdaulat, berubah secara dinamik sehingga mewujudkan keadaan ketegangan luar jangka yang menggemparkan.

“Akibatnya, banyak nyawa yang terkorban, selain turut menjejaskan kestabilan sistem antarabangsa seperti ekonomi, perundangan, gangguan rantaian bekalan makanan dan minyak, serta pelbagai lagi kesan negatif secara langsung, kepada seluruh penduduk dunia,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar warga ATM terus kekal berdiri teguh dan mengotakan janji dengan melunaskan tanggungjawab selaku Benteng Utama Pertahanan Negara.

"ATM sudah sembilan dekad penubuhannya, tidak menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan yang lapuk, sebaliknya bertambah matang dan terus berkembang, untuk beradaptasi serta berasimilasi, agar sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan ancaman keselamatan era ini," tegas Affendi.