Bicara kes rasuah RM15 juta projek milik KDN mula Mei 2024

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri atas pertuduhan rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bermula Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Sim Choo Thiam berlangsung selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.

"Kedua-dua pihak mempunyai masa untuk membuat sebarang permohonan berkaitan kes ini, sebelum perbicaraan bermula. Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 21 Feb tahun depan,” kata Rozina.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dan akan mengemukakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Sim berkata, pihaknya menyerahkan dua surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperincikan butiran dalam pertuduhan pada 6 dan 19 Jun lepas.

"Bagaimanapun, kami belum menerima maklum balas untuk kedua-dua surat itu. Oleh itu, kami akan memfailkan dua permohonan kepada mahkamah berdasarkan Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Nor Asma berkata, pihaknya menerima surat tersebut dan arahan yang diterima adalah mengekalkan butiran dalam pertuduhan tersebut.

Pada 10 Mei lepas, Sim, 53, didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama