76 hotspot banjir di Perak

Saarani (tengah) ketika meninjau ruang pameran Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban dekat sini pada Isnin.
Saarani (tengah) ketika meninjau ruang pameran Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban dekat sini pada Isnin.
A
A
A

LENGGONG - Sebanyak 76 lokasi panas banjir di seluruh Perak telah dikenal pasti sebagai persediaan kerajaan negeri menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua lokasi berkenaan merupakan kawasan yang terjejas teruk ketika banjir besar berlaku pada 2014 lalu serta kawasan kerap banjir kilat.

Menurutnya, kenal pasti lokasi di semua 12 daerah itu untuk membantu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah membuat persediaan menyelamat banjir terutama aspek logistik.

"Contoh daerah Hulu Perak ini, bila hujan lebat saja di Royal Belum, antara lokasi banjir adalah di Lenggong di Kampung Sumpitan, Kampung Kota Tampan Air dan di sebelah Gerik pula antaranya di Kampung Padang.

"Jadi kalau berlaku sahaja banjir, jawatankuasa ini yang diketuai Pegawai Daerah akan siap sedia dengan bot-bot (menyelamat) yang diletakkan di setiap kawasan itu.

"Sebab sejarah 2014 menunjukkan, kawasan-kawasan ini adalah tempat yang rendah yang mana apabila air bertakung (sungai) akan melimpah ke lokasi tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Pengarah JPS negeri, Ir Vasukey Palany Kumar.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dalam menghadapi musim tengkujuh ini, termasuk melaksanakan kerja-kerja mengorek pulih sungai, mendalamkan sungai serta penyelenggaraan 336 kolam tadahan banjir melibatkan keluasan 490 hektar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di bawah Projek Ramalan Amaran Banjir Negara pula, kerajaan negeri menambah 27 lagi sistem amaran siren seliaan JPS di sungai-sungai seluruh negeri yang dijangka siap pada tahun 2025.

Buat masa ini, keseluruhan negeri Perak telah dipasang dengan 33 sistem amaran siren dan bilangan ini akan ditambah 27 lagi untuk menjadikan keseluruhan 60 pada 2025 nanti.

"Sistem amaran banjir juga telah dipasang di dua lokasi di sekitar kawasan Sungai Lenggong untuk memberi amaran kepada penduduk kampung apabila paras air sungai mulai naik ke tahap yang bahaya.

"Siren-siren ini akan berbunyi sebanyak dua kali sebagai tanda amaran. Siren yang pertama berbunyi apabila aras air di peringkat berjaga-jaga dan siren kedua apabila aras air berada di peringkat bahaya," katanya.

Untuk rekod, Perak mempunyai 55 buah stesen hujan telemetri, 27 stesen aras air telemetri serta 43 lokasi rumah pam banjir yang berada di bawah seliaan JPS bagi mengurangkan risiko banjir.