792 hektar sawah MADA alami masalah tanah jerlus

Ahmad Tarmizi (kiri) berkesempatan meninjau kawasan tanah jerlus di kawasan MADA pada 14 september lalu.
Ahmad Tarmizi (kiri) berkesempatan meninjau kawasan tanah jerlus di kawasan MADA pada 14 september lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 792 hektar sawah di bawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dikenalpasti mengalami masalah tanah jerlus hasil tinjauan yang dilakukan setakat 20 September lalu.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, agensi itu juga turut mengenalpasti 1,533 hektar sawah turut berpontensi mengalami masalah sama.

Menurutnya, terbabit meliputi Wilayah I, Perlis melibatkan 600 hektar, Wilayah II, Jitra (224 hektar) Wilayah III, Pendang (479 hektar), dan Wilayah IV, Kota Sarang Semut (1,022 hektar).

Kejadian tanah jerlus ini berlaku berlaku disebabkan fenomena perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu di mana turunan hujan lebat berlaku pada musim kering iaitu pada Februari dan Mac 2022.

"Perkara ini mengakibatkan takungan air di kawasan sawah serta tiada tempoh rehat tanah (fallow period) menyebabkan keupayaan galas tanah menjadi rendah dan mengganggu struktur tanah di kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahli Parlimen Sik itu berkata, bagi mengatasi masalah itu, MADA akan menyalurkan pemberian Bantuan Wang Ihsan pesawah yang tidak dapat menjalankan penuaian padi Musim 1/2022, kerja-kerja pemulihan infrastruktur kecil serta pembersihan saluran air serta penggunaan kaedah dan bahan pemulihan tanah sawah.

Menurutnya, bagi tindakan jangka panjang pula, agesi itu akan mengkaji semula cadangan Jadual Penanaman Padi MADA agar memastikan tarikh permulaan musim dan fasa penanaman padi adalah bersesuaian dan boleh dilaksanakan di kawasan Muda.

"Kajian ini berdasarkan kepada faktor-faktor seperti keperluan tempoh rehat tanah, turunan hujan, tempoh penuaian tidak berlaku di dalam musim hujan, penggunaan varieti dan tempoh matang padi serta penggunaan input dan jentera pertanian bagi mengelakkan kerosakan pada struktur tanah sawah yang menyumbang kepada faktor masalah tanah jerlus," ujar Ahmad Tarmizi.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin perlaksanaan Program Pemulihan Tanah Jerlus ini mampu mengatasi masalah yang dihadapi peladang dengan segera sekaligus mengelakkan mereka terus kehilangan pendapatan.

"MADA telah mengangkat cadangan ini untuk pertimbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi meluluskan peruntukkan membaik pulih seluas 2,325 hektar tanah jerlus di Kawasan Muda dalam usaha untuk membantu para peladang," katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, aktiviti penuaian padi bagi musim 1/2022 pula, Kawasan Muda telah mencapai 81.9 peratus dan MADA menjangkakan keseluruhan aktiviti penuaian padi di Kawasan Muda akan selesai dituai pada November ini.

Ahmad Tarmizi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air & Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 2/2022 bersetuju penanaman padi bagi Musim 2/2022 adalah bergantung kepada turunan air hujan 100 peratus.

Tambahnya, MADA memutuskan Tarikh Mula Bekalan Air untuk Fasa I adalah pada 14September, manakala bagi Fasa II pada 24 September dan Fasa III pada 4 Oktober.

"Peladang-peladang di Kawasan Muda disarankan untuk menggunakan kaedah penanaman yang bersesuaian mengikut lokasi seperti kaedah tabur dalam air dan sentiasa mematuhi Jadual Penanaman Padi yang dikeluarkan oleh pihak MADA bagi mengelakkan pembaziran air.

"MADA sentiasa proaktif dalam melaksanakan program-program pembangunan tanaman padi bagi memastikan para peladang di Kawasan Muda dapat meningkatkan hasil dan pendapatan sejajar dengan matlamat MADA iaitu melebihkan hasil untuk keperluan negara dan meningkatan kesejahteraan sebilangan besar peladang di Kawasan Muda," jelas Ahmad Tarmizi.