Nafas pilih tiga syarikat agih benih padi kepada pesawah

Zamri (tengah) menyampaikan replika cek dana Projek MyGreen Team kepada wakil Pertubuhan Peladangan Kebangsaan (PPK) Tumpat sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan kali ke-47/2022 pada Ahad.
Zamri (tengah) menyampaikan replika cek dana Projek MyGreen Team kepada wakil Pertubuhan Peladangan Kebangsaan (PPK) Tumpat sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan kali ke-47/2022 pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan bekerjasama dengan tiga syarikat pengeluar benih padi bagi memudahkan agihan 50,000 tan metrik benih itu kepada pesawah di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob memaklumkan, syarikat terlibat ialah dua di Kedah dan satu di Selangor.

"Pesawah memerlukan kira-kira 72,000 tan metrik benih padi setahun dan jumlah yang diperoleh kini tidak mencukupi.

"Sudah tiba masanya Nafas menjadi pembekal kepada pesawah yang terlibat secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan kali ke-47/2022 di sini, pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes penyelewengan yang berlaku dalam pertubuhan itu, Zamri berkata, usaha pihak berkuasa menahan mereka yang disyaki terlibat masih diteruskan.

Bagaimanapun,ujar beliau, pertubuhan itu belum menerima sebarang perkembangan penahanan suspek baharu.

"Nafas menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan pihak terlibat.

"Kita sudah menyerahkan laporan kepada pihak berkuasa supaya mereka yang bersalah diambil tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2020, laporan audit forensik yang dilakukan ke atas akaun milik Nafas mendedahkan pertubuhan itu menanggung kerugian kira-kira RM50 juta akibat penyelewengan pengurusan kewangan dan tadbir urus

Perkara itu kemudiannya didedahkan pada Februari 2020..

Kes turut membabitkan pembelian bangunan ibu pejabat di Kota Damansara, Selangor; ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri, Sarawak dan hartanah di Muar, Johor yang kesemuanya dibeli dengan harga lebih tinggi dari nilai pasaran.