#Projek Baju Raya agih pakaian terpakai kepada golongan memerlukan

Nik Justin (empat dari kiri) bersama staf pemasaran Sinar Karangkraf.
Nik Justin (empat dari kiri) bersama staf pemasaran Sinar Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf dengan kerjasama Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) berjaya mengagihkan sebanyak 10 peratus daripada 500 kilogram (kg) pakaian terpakai di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur menerusi #Projek Baju Raya pada Selasa.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program yang dijalankan itu merupakan inisiatif kebajikan tanggungjawab bersama (CSR) bagi membantu orang ramai yang kurang berkemampuan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, kempen yang kita jalankan semenjak 1 Ramadan lalu berjaya mengumpulkan banyak pakaian terpakai daripada orang ramai.

Orang ramai memilih pakaian yang disumbangkan menerusi #Projek Baju Raya.
Orang ramai memilih pakaian yang disumbangkan menerusi #Projek Baju Raya.

“Oleh itu, kami agihkan sebanyak 10 peratus dahulu buat masa sekarang dengan sasaran 200 keluarga kurang berkemampuan manakala selebihnya kami akan laksanakan pada hari yang lain di lokasi yang berbeza.

“Memandangkan program ini mendapat sambutan, ia memang berterusan sehingga ke bulan Syawal. Selepas raya pun kita akan buat lagi bagi membantu komuniti yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, Presiden Pertiwi, Datuk Munirah Abd Hamid menyatakan penghargaan atas kolaborasi yang dijalankan bersama dalam inisiatif tersebut.

Munirah
Munirah

Jelas Munirah, beliau berharap kerjasama itu akan berterusan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan.

“Kita juga sebelum ini sentiasa mengagihkan barangan keperluan dan makanan kepada mereka yang susah serta gelandangan.

“Semoga kerjasama dalam inisiatif ini menjadi pemangkin untuk kita terus bersama-sama membantu mereka yang kekurangan," ujarnya.