Dua premis hiburan diserbu, 21 individu ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAUB - Tiga lelaki tempatan bersama 18 wanita warga asing ditahan dalam pemeriksaan Op Noda ke atas dua premis hiburan di sebuah pusat perniagaan di Jalan Lipis di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, tiga lelaki tempatan itu dipercayai pemilik atau pekerja premis manakala semua wanita warga Thailand bekerja sebagai pelayan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis hiburan itu beroperasi tanpa lesen manakala semua wanita terbabit didapati melanggar syarat visa lawatan sosial.

"Dalam operasi antara jam 1 hingga 3.30 pagi itu,sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mendapati terdapat pelanggan sedang berhibur sambil minum minuman keras di premis tersebut.

"Premis hiburan itu juga didapati memasang muzik dengan kuat hingga boleh didengar hingga ke luar manakala cahaya lampu di dalamnya samar-samar dan menimbulkan kecurigaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Shahril berkata, hasil pemeriksaan, semua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

"Tiga lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Enakmen Hiburan 1993 kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.

"Sementara itu, semua wanita warga asing ditahan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat visa lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis akan meneruskan Op Noda bagi mengesan kesalahan dilakukan pengusaha pusat-pusat hiburan di daerah itu.

Menurutnya, perhatian turut diberikan terhadap restoran yang dijadikan sebagai pusat hiburan tanpa lesen.

"Kerjasama orang ramai diharapkan dalam menyalurkan maklumat berkaitan restoran menjalankan operasi hiburan tanpa lesen untuk tindakan lanjut," katanya.