314 mahasiswa ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Suksis

Dr Yuserrie (tiga dari kanan)bersama pelatih terbaik Kor Suksis UMP sempena Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Suksis Universiti Awam Zon Timur 2022 yang berlangsung di UMP Kampus Pekan, pada Sabtu.
Dr Yuserrie (tiga dari kanan)bersama pelatih terbaik Kor Suksis UMP sempena Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Suksis Universiti Awam Zon Timur 2022 yang berlangsung di UMP Kampus Pekan, pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Seramai 314 siswa dan siswi dari lima Universiti Awam (UA) ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) setelah berjaya menamatkan latihan masing-masing, pada Sabtu.

Pelatih Kor Suksis yang ditauliahkan itu terdiri daripada penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin ( Unisza) dan Universiti Sains Islam Malaysia ( Usim).

Sijil pentauliahan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail.

Aidi berkata, tauliah yang diberikan itu satu pengiktirafan dan penghargaan di atas semangat juang para pelatih mengharungi latihan dengan penuh disiplin selama tiga tahun.

Menurutnya, melalui modul-modul latihan ditetapkan seperti modul latihan kawad, latihan senjata, modul kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan modul program khidmat masyarakat, beliau yakin Inspektor Kor Suksis yang ditauliahkan itu mampu menjadi graduan dengan kemahiran insaniah tinggi.

“Pembentukan peribadi tidak hanya dipelajari di dalam kelas tetapi melalui aktiviti ko-kurikulum untuk menerapkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar universiti seperti kepimpinan, semangat berpasukan, ketaatan, disiplin dan pengurusan masa.

"Melalui pembelajaran yang menjadi objektif utama program Kor Suksis ini mampu membentuk mereka dengan sahsiah cemerlang sebagai pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Inspektor Kor Suksis Universiti Awam Zon Timur 2022 di UMP Kampus Pekan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin merangkap Komandan Kor Suksis UMP dan Ketua Penolong Pengarah (Koordinasi Sumber Sokongan) JPJKK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Azhan Abdul Halim,

Artikel Berkaitan:

Aidi berkata, generasi pemimpin yang berilmu, berbudaya cemerlang, bertanggungjawab, berwawasan, berintegiriti, mempunyai daya ketahanan yang kental serta bersemangat waja amat diperlukan dalam melaksanakan agenda negara.

"Justeru, mahasiswa diingatkan supaya menjauhkan diri dari segala bentuk gejala sosial dan pelanggaran undang-undang.

"Mereka sebaliknya perlu menjadi contoh kepada pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan," katanya.

Sementara itu, Dr Yuserrie berkata, Kor Suksis UMP yang ditubuhkan pada 17 Julai 2007 melahirkan 604 alumni pegawai Inspektor Kor Suksis.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 38 orang kini sedang berkhidmat sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai bidang kepakaran.

"Bagi Inspektor Kor Suksis yang baru ditauliahkan ini, mereka juga berpeluang menjadikan bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas menamatkan pengajian," katanya.