Dialog Siswa medan kerajaan dengar suara, pandangan anak muda

Adam Adli bergambar bersama penuntut yang menghadiri Dialog Siswa Sinar Harian di Dewan Senat Unisel pada Rabu.
Adam Adli bergambar bersama penuntut yang menghadiri Dialog Siswa Sinar Harian di Dewan Senat Unisel pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dialog Siswa Sinar Harian harus diperluaskan ke institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan lebih banyak suara dan pandangan anak muda didengari dan diambil perhatian kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata, dialog seperti itu perlu dikembangkan sekali gus dapat menguruskan pelbagai permasalahan anak muda.

Menurut beliau, dialog itu membolehkan pihak kerajaan terutama tetamu undangan menjawab segala persoalan secara bersemuka.

"Ini peluang sebenarnya kepada kerajaan terutamanya Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen atau pembangkang untuk mendengar sendiri apa jua cadangan, penambahbaikan dan idea dalam kalangan penuntut," katanya semasa ditemui pada program dialog itu di Dewan Senat Universiti Selangor (Unisel) pada Rabu.

Adam Adli berkata, budaya dialog amat baik diadakan di peringkat universiti hingga mereka berasa seronok untuk menjalankan program seperti itu.

"Apabila banyak dialog dalam ruang demokrasi, kita dapat rungkai banyak masalah dan (jika) tak nak berdialog itu timbul perbezaan yang tidak dapat kita uruskan," kata beliau.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihak universiti tidak hanya perlu mengadakan dialog sahaja, malah boleh juga diadakan debat, forum atau sebagainya pada masa depan.

Ditanya tentang sesi dialog bersama penuntut Unisel, Adam Adli memberitahu, persoalan lebih tertumpu kepada kepentingan dan peranan beliau di KBS.

"Banyak soalan sukan dan minat mereka dalam sukan dan saya harap dalam ruang-ruang lain mereka dapat gunakan peluang ini bertanyakan soalan tentang kebajikan mahasiswa, dasar dan arah tuju kerajaan serta tidak perlu takut untuk bertanya," ujarnya.

Sesi Dialog Siswa bersama Adam Adli itu diadakan kali kedua itu dihoskan oleh Syuhaida Ariffin.

Edisi sulungnya menampilkan bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sebagai tetamu jemputan yang pertama.