Polis tunggu satu lagi sampel DNA waris mangsa tragedi kuari

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A
A

IPOH - Sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil daripada waris salah seorang mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sampel darah diambil bagi mengenal pasti cebisan tulang dan rangka pekerja kuari yang dijumpai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada Selasa.

"Kita sudah ambil sampel DNA daripada keluarga mangsa yang berketurunan Orang Asli manakala sampel untuk seorang lagi mangsa pula, kita masih menunggu.

"Kita difahamkan keluarga tersebut berada di Switzerland. Jadi, kita akan menunggu sampel ini diberikan oleh keluarga masing-masing untuk dipadankan," katanya kepada pemberita pada program 'katakan tidak kepada buli' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Pada Selasa, pasukan mencari dan menyelamat menemui cebisan tulang dan rangka manusia bersama serpihan baju dan jengkaut di lokasi berkenaan, milik seorang daripada mangsa runtuhan.

Artikel Berkaitan:

SAR kemudiannya ditamatkan pada Khamis selepas cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan penyelamat.