Runtuhan kuari: Rangka dihantar ujian DNA, operasi mencari diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi penemuan jengkaut dan rangka manusia di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto: Bomba Perak
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi penemuan jengkaut dan rangka manusia di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto: Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, langkah itu bagi tujuan bedah siasat dan ujian DNA untuk pengesahan identiti mangsa.

Menurutnya, cebisan berkenaan ditemui di dalam sebahagian kabin jentera yang dijumpai di tempat kejadian ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

"Pada jam lebih kurang 8.30 pagi tadi, polis telah menerima makluman daripada pengusaha kuari mengenai penemuan serpihan jentera yang disyaki dikendalikan oleh salah seorang mangsa tertimbus.

"Pasukan mencari dan menyelamat diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dibantu bomba dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak kemudian berjaya menemui cebisan tulang dan rangka manusia dalam kabin jentera terbabit," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Bangkai jengkaut yang ditemukan di lokasi runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto Bomba Perak
Bangkai jengkaut yang ditemukan di lokasi runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto Bomba Perak

Beliau berkata, setakat ini, operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa.

"Kerja-kerja di lokasi masih berjalan untuk mengesan rangka jentera lain yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan batu tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, lokasi bangkai jengkaut dan rangka tulang itu ditemukan pada jarak 25 meter dari lokasi pencarian terakhir pasukan penyelamat sebelum ini.

Katanya, jentera tersebut berkemungkinan dibawa runtuhan sehingga ke bahagian hujung bukit.

"Pegawai dan anggota Bahagian Operasi JBPM Perak bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi selepas dihubungi polis pada jam 10.20 pagi.

"Kerja-kerja menggali segera dijalankan dan selepas bangkai jengkaut dialihkan, kita menemui baju dan serpihan rangka tulang berhampiran jentera tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi pekerja kuari yang masih tertimbus diteruskan dengan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).

"Kami akan menempatkan anggota di lokasi runtuhan batu kuari ini dalam masa beberapa hari untuk meneruskan operasi mengesan seorang lagi mangsa yang dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu," katanya.

Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu itu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.