Pencemaran ammonia: Bekalan air hampir pulih di Johor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekalan air kepada lebih sejuta pengguna di sebahagian Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi yang terlibat dengan kesan pencemaran ammonia bermula di Sungai Sayong pada 3 April lalu, sudah hampir pulih sepenuhnya hari ini.

Sehingga 10 pagi tadi, pengguna di kawasan terbabit telah mula mendapat bekalan air terawat secara berperingkat kecuali beberapa kawasan tinggi dan di hujung sistem agihan yang melibatkan 5,067 akaun di sebahagian Johor Bahru meliputi sebahagian Taman Pelangi Indah, Desa Tebrau, Kempas Lurah, Kempas Denai, Kempas Permatang, Kempas Banjaran dan Taman Kempas.

Manakala bagi sistem Loji Rawatan Air (LRA) Tai Hong yang melibatkan sebahagian Felda Ulu Tebrau, Taman Bukit Tiram, Taman Bukit Jaya dan Taman Puteri Wangsa dijangka menerima bekalan air sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

Bagaimanapun, sekiranya masih ada kawasan yang tidak menerima bekalan air, pengguna boleh menghubungi Ranhill SAJ Sdn Bhd di talian 1800887474 atau customer.care@ranhill.com.my untuk mendapatkan bantuan 'tanker'.

Insiden pencemaran ammonia dengan kadar parameter yang tinggi di sungai yang menjadi sumber air mentah bagi loji-loji utama merupakan kejadian berada di luar kawasan pihak operasi Ranhill SAJ sehingga perlu membuat keputusan menghentikan operasi LRA jika ia mula memasuki muka sauk loji berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak akan merawat air mentah yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna bekalan air.

"Jadi keputusan menghentikan operasi loji-loji berkenaan diambil bagi memastikan air bersih yang dirawat tidak dicemari ammonia. Kes pencemaran ammonia di Sungai Johor perlu dipantau sewajarnya dan tindakan tegas perlu diambil kepada pelaku bagi memastikan ia tidak berulang.

"Langkah ini penting supaya pihak kami tidak menghadapi gangguan bekalan air tidak dirancang seperti ini yang bukan sahaja boleh menyebabkan loji henti operasi merawat air, malah mendatangkan kesulitan kepada jutaan pengguna untuk beberapa hari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pengguna diharapkan bersabar kerana pemulihan sistem agihan bekalan air mengambil sedikit masa untuk menstabilkan tekanan dan memenuhi tangki sebelum sampai ke pengguna terutama apabila jarak dengan LRA jauh.

Turut dimaklumkan, Ranhill SAJ menggerakkan 30 lori tangki bagi memberi bantuan air mengikut keutamaan mulai hari ini selain memaklumkan kepada pengguna mengenai perkembangan operasi loji dari masa ke semasa.

Terdahulu, insiden pencemaran bermula di Sungai Sayong yang turut menyebabkan Sungai Johor menerima impaknya, telah menyebabkan LRA Semangar dan LRA Sungai Johor milik Ranhill SAJ serta LRA Tai Hong (PUB) terpaksa henti operasi.

Bagaimanapun, LRA Semangar dan Sungai Johor kembali beroperasi secara berperingkat mulai 5 April lalu, manakala LRA Tai Hong pada keesokan harinya (6 April).

Pemberitahuan berkaitan insiden berkenaan telah mula disalurkan kepada orang ramai melalui media sosial dan laman web rasmi Ranhill SAJ pada 4 April dan maklumat dikemas kini setiap hari berkaitan status pemulihan di kawasan terbabit.