Buat PRU musim banjir, helah UMNO untuk menang: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

KODIANG - Gesaan beberapa pemimpin UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada penghujung tahun ini yang turut diramalkan akan berlaku banjir hanyalah helah untuk memastikan tidak ramai pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa, ini kerana UMNO menyedari sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi mereka sekiranya PRU ditangguhkan lagi sehingga ke tahun hadapan.

Menurutnya, UMNO kemungkinan menelah peluang parti itu untuk menang adalah lebih tinggi sekiranya jumlah pengundi hanya berada di bawah 60 atau 50 peratus.

“Apabila jumlah yang keluar mengundi rendah, peluang untuk UMNO menang makin tinggi, itu terbukti berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Di Johor, sekitar 45 peratus tidak keluar mengundi manakala sebahagian mereka pula tidak undi UMNO serta BN. Masalahnya, pembangkang berpecah menyebabkan UMNO dapat membentuk kerajaan hanya dengan 30 peratus yang mengundi mereka,” katanya ketika berucap pada program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, oleh itu dalam PRU akan datang, UMNO mahu menggunakan helah tersebut sebagai formula untuk pastikan kemenangan parti itu dengan beranggapan ketika banjir tidak ramai akan keluar mengundi.

Mukhriz (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih sempena program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa pada Jumaat.
Mukhriz (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih sempena program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa pada Jumaat.

“Ketika itu, mereka akan kerah penyokong tegar bagi membolehkan cukup 30 peratus untuk menang pilihan raya. Janganlah kita termakan dakyah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kononnya pembangkang takut berdepan PRU, beliau yang mahu buat PRU sewaktu orang tak ramai dengan harapan boleh menang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, Pejuang tidak sesekali takut untuk berdepan PRU sama ada cepat atau lambat kerana itu adalah peranan sebuah parti politik.

“Ahmad Zahid kata kita ni semua takut. Takut apa? Kita nak jaga kepentingan rakyat. Bukan takut nak menghadapi pilihan raya. Kami tetap bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya sama ada banjir atau tidak, itu memang kerja kami,” katanya.

Mukhriz tegaskan, adalah tidak wajar untuk mengadakan PRU15 ketika rakyat berdepan musibah banjir.

“Kesian kepada rakyat, tak patut sangatlah. Orang sedang susah rumah tenggelam, ada pihak kalut nak buat PRU. Sudahlah tempat mengundi kebiasaannya adalah sekolah, masa banjir pula sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Agaknya mereka (UMNO) terdesak sangat nak menang sebab tu nak juga buat PRU ketika banjir,” katanya sinis.

Ahmad Zahid ketika melancarkan Jentera Pemuda BN baru-baru ini dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.