Ucapan BN sanggup redah banjir dimanipulasi: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar dalam:Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar dalam:Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperjelaskan ucapannya mengenai parti itu sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sengaja dimanipulasi kononnya BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat.

Beliau berkata, ucapannya pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini adalah untuk memberi gambaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa jentera parti telah pun bersedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa walau apa jua keadaan dan situasi.

“Ucapan itu juga jelas bagi memberi gambaran kepada PM bahawa jentera BN sanggup meredah segala cabaran demi memastikan kemenangan pada PRU15 milik BN.

“Bagaimanapun ucapan bagi menyatakan semangat serta kesiapsiagaan jentera BN itu dimanipulasi dan dipropagandakan konon BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.

Beliau menambah sebelum mengulas lanjut tohmahan tentang `banjir', beberapa fakta signifikan pihak mana yang sebenarnya tidak mempedulikan keselamatan rakyat perlu diteliti antaranya semasa rakyat meminta supaya pelancong dari negara terjejas Covid-19 harus disekat daripada memasuki Malaysia, kerajaan 22 bulan memperlekehkan gesaan itu.

"Pelancong dari China ada masanya meningkat sehingga dua juta. Kita nak simpan di mana? Letak dalam kandang lembu? Takkan macam tu... tetapi ada simptom sikit pun kita akan kuarantin mereka.

“Natijahnya, kes pertama Covid-19 di Malaysia dilaporkan pada Januari 2020 membabitkan beberapa warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor.

“Kisah seterusnya Covid-19 adalah sejarah yang menyedihkan apabila lebih 25,000 dilaporkan maut di Malaysia sebelum negara mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Zahid, semasa rakyat meminta supaya penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) dilakukan apabila kes jangkitan Covid-19 meningkat tahun lalu namun kerajaan 17 bulan mengabaikannya.

“Sekatan pergerakan 'separuh masak' di Malaysia antara yang terpanjang di dunia telah menghancurkan kewangan dan menjejaskan kehidupan rakyat keseluruhan.

“Ekonomi musnah dan begitu ramai telah hilang mata pencarian sehingga ada yang terpaksa mengibarkan 'bendera putih' merayu sumbangan makanan.

“Sebenarnya kita telah lama minta supaya PRU15 diadakan terutama selepas imuniti kelompok dicapai bagi mengembalikan kestabilan di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya menuntut mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk membolehkan masyarakat Malaysia membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan sehaluan dalam mendepani pascapendemik.

“Bagaimanapun lawan BN membantah dan memberi alasan demi alasan kerana mereka tahu sedang berada dalam kedudukan ditolak oleh rakyat.

“Bermula dengan alasan negara masih di peringkat pandemik dan seterusnya menggunakan alasan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan apabila memasuki fasa ke endemik.

“Kini mereka menggunakan pula alasan `banjir' sedangkan bekas PM mereka pernah mengadakan PRU pada November 1999,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, rumusan adalah mudah sahaja iaitu berdasarkan ucapannya, BN telah bersedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa sekali pun.

“Kita juga percaya kepada kemampuan dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjayakan amalan demokrasi dalam sebarang situasi.

"Namun jika benar lawan BN khuatir PRU15 diadakan semasa `banjir', bukannya alasan terbaru demi menyelamatkan politik mereka maka kita adakan PRU15 sekarang.

“Sudah masa untuk mereka 'walk the talk' dan `tekanlah butang' supaya SPR boleh tetapkan tarikh terhampir untuk rakyat memilih sebuah kerajaan baharu yang stabil dan lebih kukuh," katanya.

Jelas beliau, rakyat tidak pernah lupa dan mudah tertipu lagi dengan kisah yang telah dipertontonkan oleh kerajaan 22 bulan.