'BN tak gentar redah banjir kalau PM bubar Parlimen'

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu. - Foto Bernama
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak sedang menunggu tarikh keramat pembubaran itu meskipun terdapat kekangan.

"Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar parlimen, banjir pun kita sanggup redah untuk berkempen. Sewaktu banjir Pemuda, Wanita, Puteri, BN turun lebih ramai dari parti lain.

"Sanggup ke turun? Sanggup berkempen masa banjir? Sanggup kempen masa hujan lebat? Sanggup kempen masa ribut taufan? Saya nak tengok siapa yang sanggup?" Kata Ahmad Zahid ketika berucap sempena pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini, pada Sabtu.

Laungan 'bubar, bubar' bergema pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN itu sebagai isyarat penting akar umbi yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lebih ramai anak muda akan diketengahkan untuk menjadi calon pada PRU15.

"Kami telah buktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Maka dalam PRU15 nanti, Insya-ALLAH lebih ramai anak-anak muda akan diketengahkan.

"Kita serah kepada pengarah pilihan raya BN berunding dengan baik untuk pastikan ramai anak muda diketengahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Zahid, setiap kepimpinan harus melihat kesiapsiagaan jentera dan langkah strategik yang dilakukan.

"Perkasa tempur harus dilakukan dan diperkukuh. Perang saraf perlu tersusun dan jangan lupa perang maya.

"Perang maya harus dilakukan dan jangan perang sesama sendiri. Kita mesti perang dengan musuh di luar sana dan mesti menguasai dunia maya," tegas beliau.