Juruteknik tak mengaku pecah rumah, larikan kereta

Kek Wui (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Seremban pada Jumaat.
Kek Wui (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Port Dickson pada 14 September lalu.

Tertuduh, Chong Kek Wui, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah melakukan pecah rumah ke atas sebuah kediaman dengan niat untuk mencuri satu bentuk cincin berbatu jed warna hijau dan seutas jam tangan jenama Omega.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Lukut Kecil Batu 3 1/2 Jalan Seremban, Port Dickson lebih kurang jam 2.20 hingga 5 petang, 14 September lalu.

Oleh demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan dan boleh dikenakan denda atau sebat jika kesalahan kali kedua atau lebih.

Oleh kerana tertuduh pernah disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan di bawah seksyen yang sama, maka dia tertakluk kepada pemberatan di bawah Seksyen 75 kanun yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah mencuri sebuah kereta Toyota Vios iaitu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap hari Sabtu minggu pertama.

Kes akan disebut semula pada 25 Oktober depan.