Pasar Chow Kit diserbu, 181 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen (JIM) menahan 181 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di Pasar Raja Bot atau dikenali sebagai Pasar Chow Kit di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sebanyak 512 warga asing diperiksa dalam operasi yang bermula pada jam 9.40 pagi itu.
"Sebanyak 181 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tiada pas perjalanan, pas tamat tempoh dan salah guna pas," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Lokman Effendi berkata, warga asing yang ditahan melibatkan 147 warga Indonesia, Bangladesh (20), India (3), Nepal (5), Pakistan (1) dan lain-lain (5) berusia antara 10 hingga 55 tahun.
Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
Operasi bersepadu itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Lokman Effendi berkata, Pasar Raja Bot antara 224 lokasi panas di seluruh negara yang sentiasa berada di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Katanya, operasi itu kali kedua dilaksanakan di lokasi berkenaan tahun ini selepas risikan dijalankan bagi menentukan masa sesuai untuk tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata, operasi akan terus dilaksanakan tanpa mengira kekerapan sekiranya masih terdapat pelanggaran undang-undang imigresen dan tiada kawasan akan terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan.
Lokman Effendi berkata, tindakan juga tidak hanya tertumpu kepada warga asing, sebaliknya majikan dan pemilik premis yang melanggar undang-undang turut dikenakan tindakan.
"Kita ingatkan majikan supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen kerana mereka juga akan terdedah kepada tindakan undang-undang di bawah akta ini.
"Warga tempatan yang cuba membantu warga asing ini juga boleh dikenakan tindakan kerana boleh disabitkan dengan kesalahan melindungi mana-mana warga asing yang tidak sah berada di dalam negara kita," katanya.
Beliau berkata, warga asing yang berada di negara ini secara sah tidak perlu bimbang kerana operasi penguatkuasaan hanya menyasarkan mereka yang melakukan kesalahan undang-undang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
