Peniaga bazar Ramadan didenda RM1,200 jual makanan tercemar

Mohd Salleh didenda RM1,200 atas pertuduhan menjual makanan yang tercemar di bazar Ramadan di Kelapa Sawit, Kulai April lalu. - Gambar hiasan
Mohd Salleh didenda RM1,200 atas pertuduhan menjual makanan yang tercemar di bazar Ramadan di Kelapa Sawit, Kulai April lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,200 ke atas seorang peniaga makanan di bazar Ramadan di Kelapa Sawit dekat sini, atas pertuduhan menjual makanan yang tercemar pada April lalu.

Mohd Salleh Sahahid, 57, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual makanan yang tidak mematuhi kehendak penjualan makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bazar Ramadan Taman Manis, Kelapa Sawit kira-kira jam 4 petang, pada 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Idris Ahmad memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan bagi meningkatkan kesedarannya serta masyarakat supaya lebih peka dan patuh mengenai isu keselamatan makanan bagi memastikan pengguna dapat membeli makanan selamat dimakan yang dijual di pasaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah kerana menjaga ibu yang menggunakan lampin pakai buang dan masih mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah.

Berdasarkan fakta kes, pegawai serbuan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kulai telah menjalankan aktiviti pensampelan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, hasil analisa yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru mendapati makanan yang diuji tercemar dengan mikroorganisma patogenik.