Pembaziran makanan di bazar Ramadan makin kritikal

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISU pembaziran makanan sering kali timbul pada bulan Ramadan kerana ramai peniaga memilih untuk membuang juadah yang tidak habis dijual.

Pembaziran makanan berlaku apabila para peniaga menyediakan makanan berlebihan semata-mata mahu meraih keuntungan yang berlipat kali ganda.

Menerusi laporan muka hadapan Sinar Harian pada 9 April, peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.

Jumlah tersebut bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa dan secara puratanya sisa bahan makanan dibuang sebanyak 73.67 tan sehari.

Pada tahun 2021, Sinar Harian melaporkan trend pembuangan sisa makanan meningkat 15 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan pada musim perayaan dan Ramadan.

Pada tahun sama, tinjauan di bazar Ramadan turut dijalankan dan mendapati rata-rata pengunjung membeli lebih daripada dua bungkusan juadah berbuka.

Menurut Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, trend pembuangan sisa makanan yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar semakin meningkat dengan ketara sebaik sahaja aktiviti berniaga dibenarkan pada 2021 selepas negara dilanda wabak Covid-19.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengurangkan masalah pembaziran kerana semakin banyak jumlah makanan terbuang, maka kos pengurusan juga akan meningkat.

Bagaimanapun, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana di bulan mulia ini, kita perlu mengingati bahawa masih adalah golongan yang kelaparan sehingga mereka mencari makanan di kawasan pembuangan sampah.

Justeru, perancangan sebelum menjual dan membeli amat penting untuk dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Selain itu, kepada para peniaga bazar Ramadan elakkan membuang makanan tersebut, alangkah baiknya jika juadah itu disedekahkan kepada golongan memerlukan.