Bau seakan diesel di Sungai Gong, tiada henti tugas LRA

Langkah pencegahan dengan meletakkan oil boom dan beg karbon aktif dilakukan bagi mengurangkan impak pencemaran.
Langkah pencegahan dengan meletakkan oil boom dan beg karbon aktif dilakukan bagi mengurangkan impak pencemaran.
A
A
A

RAWANG - Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong dengan bacaan dua ton di sini pada Rabu malam.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) dilaporkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) setakat ini.

Menurutnya, siasatan LUAS mendapati pencemaran bau itu terletak di hulu Sungai Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri.

"Bagaimanapun siasatan bersama Air Selangor turut menemukan sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sampel air diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.
Sampel air diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

Beliau berkata, jarak lokasi pencemaran bau dengan muka sauk LRA terhampir iaitu muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 20 kilometer.

Tambahnya, langkah pencegahan dilakukan dengan meletakkan oil boom dan beg karbon aktif di outlet Kolam Takungan Sungai Gong serta saliran longkang stesen minyak berkenaan untuk memerangkap minyak dan nyah bau.

"LUAS juga telah siap siaga untuk melakukan pengepaman air dari kolam-kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan 'flushing'untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan seterusnya nyah bau.

Artikel Berkaitan:

"Teknologi pemulihan secara bio digunakan tujuan pemuliharaan juga diaplikasikan di kawasan-kawasan yang terjejas," kata beliau.

Ujarnya, LUAS juga telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi

mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

Selain itu katanya, LUAS juga akan memantau rapi kawasan terlibat melalui pensampelan bau di Stesen Statik di Jambatan Glomac untuk mengesan perubahan bau di dalam Sungai Gong.