Malaysia perlu 8,000 pakar perubatan keluarga: Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KOTA KINABALU - Malaysia masih memerlukan kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga untuk ditempatkan di semua klinik kesihatan termasuk di kawasan pedalaman di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi meningkatkan lagi usaha menambah pakar dalam bidang berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bekerjasama dengan universiti dan kolej tempatan menerusi program ijazah sarjana.

"Kita dulu bermula dengan 42 fasiliti yang ada pakar perubatan keluarga tetapi sekarang kita sudah pertingkatkan iaitu melihat kepada spektrum rawatan kepada komuniti kita dan sekarang kita ada hampir 1,100 pakar perubatan keluarga.

"Sekarang ini dalam kapasiti kita memang memerlukan lebih kurang 8,000 pakar perubatan keluarga supaya dapat ditempatkan di semua klinik-klinik kita tetapi dalam masa sama kita dalam proses untuk meningkatkan lagi usaha menerusi program ijazah sarjana perubatan keluarga di universiti dan kolej tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-24 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Noor Hisham berkata, KKM juga mungkin akan bekerjasama dengan kolej lain dari luar negara dalam usaha meningkatkan jumlah pakar perubatan keluarga di negara ini.

"Kalau kita bekerjasama dengan kolej-kolej luar, apabila mereka telah lulus sebagai pakar perubatan keluarga, mereka akan turut diiktiraf di negara lain bukan hanya di negara kita Malaysia.

"Jadi ini penting supaya kita dapat pakar perubatan yang berkualiti yang diiktiraf oleh banyak negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan pembentangan bajet 2023, Noor Hisham berkata, sebanyak lima peratus disasarkan daripada bajet keseluruhan untuk diperuntukkan bagi mempertingkatkan sistem kesihatan awam negara.

"Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), kita mohon supaya ditambah peruntukan iaitu kalau kita lihat keseluruhan bajet untuk kesihatan dalam negara kita lebih kurang 4.3 atau 4.4 peratus di sektor awam.

"Sewajarnya kalau kita dapat tingkatkan kepada lima peratus untuk sistem kesihatan awam itulah sasaran kita, jadi kalau ditambah dengan swasta mungkin jadi tujuh atau lapan peratus.

"Di negara maju contohnya di United Kingdom dan Australia kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka untuk kesihatan lebih kurang 10 atau 11 peratus, di Amerika Syarikat paling tinggi hampir 19 dan 20 peratu," katanya.

Beliau berkata, KKM berharap selepas lihat pandemik Covid-19, kesihatan negara diberikan keutamaan untuk dilaburkan.

"Jadi kalau ini dapat dipertingkatkan, kita akan dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat kepada rakyat Malaysia terutama mereka di pedalaman," katanya.