Saman penduduk buka mata DBKL, menteri atasi banjir KL

Hannah (kiri) ditemui ketika turun padang memantau kerja penyelenggaraan laluan pejalan kaki di Stesen Komuter Kepong pada Khamis.
Hannah (kiri) ditemui ketika turun padang memantau kerja penyelenggaraan laluan pejalan kaki di Stesen Komuter Kepong pada Khamis.
A
A
A

KEPONG - Hasrat penduduk yang mahu menyaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan kekerapan banjir di ibu kota mendapat sokongan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, ia sebagai memberi tekanan kepada DBKL serta Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mengambil langkah proaktif mengatasi banjir di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian banjir yang berlaku di Kampung Kasipillay dan Kolam Air telah menyebabkan kerosakan harta benda hingga terdapat penduduk menanggung kerugian mencecah RM30,000.

"Wang sagu hati RM1,000 yang diterima tidak mencukupi bagi menampung kerugian yang dialami tersebut.

"Keputusan penduduk untuk ambil tindakan itu (saman) bagus kerana akan memberikan tekanan supaya lebih banyak maklum balas dan penyelesaian diambil oleh DBKL mengatasi isu banjir.

"Isu ini banyak kali dibangkitkan di Parlimen namun jawapan tiga minit oleh menteri tidak cukup, masa terhad dan hendak tanya soalan tambahan pun tidak sempat," katanya ketika mengulas isu notis tuntutan difailkan penduduk berhubung mitigasi banjir Kuala Lumpur.

Hannah ditemui ketika turun padang memantau kerja penyelenggaraan laluan pejalan kaki di Stesen Komuter Kepong pada Khamis.

Beliau berkata, penduduk tidak boleh bersabar dengan cadangan pembinaan kolam tadahan bawah tanah yang akan mengambil masa lama untuk disiapkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penduduk memerlukan penyelesaian segera dan efektif bagi mengatasi permasalahan itu melibatkan prosedur pengurusan dan aspek penyelenggaraan sungai.

"Saya lihat kerja pembersihan sungai (mengeluarkan kelodak pasir) perlu lebih kerap dilakukan kerana ia salah satu penyumbang kepada limpahan air yang menyebabkan banjir.

"Dulu pembersihan dibuat dua kali setahun tetapi telah ditingkatkan kepada empat kali setahun selepas dibuat aduan. Jika lihat cuaca sekarang dan sudah masuk musim monsun, apa salahnya kekerapan itu ditambah lagi kepada setiap minggu atau setiap bulan.

"Setakat letak beg pasir tidak memadai kerana besi pengadang pun boleh tercabut apabila berlaku banjir, bagaimana beg pasir boleh bertahan," katanya.

Katanya, walaupun beg pasir yang pecah telah digantikan namun situasi sama akan berulang setiap kali berlakunya banjir.

"Kekerapan pembersihan sungai perlu dilakukan. Jika libatkan isu kos, DBKL atau pihak berkaitan boleh beri lesen kepada kontraktor pengorekan pasir bagi tujuan tersebut.

"Kaedah penyelesaian perlu berubah, tidak boleh kekal dengan prosedur sama kerana perubahan iklim telah menyebabkan kekerapan hujan, penyelenggaran sedia ada tidak mencukupi atasi banjir di Kuala Lumpur," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk S Ambiga bersama tujuh lagi penduduk di ibu negara telah memfailkan surat tuntutan terhadap DBKL untuk mendapat maklumat mengenai kemas kini pelan tindakan banjir.

Surat tuntutan yang ditulis pada 19 September lalu ditujukan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang perlu memberi maklumat dalam tempoh lima hari atau menghadapi saman.