Pembantu tadbir didakwa salah guna kuasa dapatkan suapan

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, pada Khamis atas lima pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM8,890.

Mohd Zulkrnin Abdul Rashid, 49, dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai, Nibong Tebal di antara Februari hingga Julai 2020 lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zulkrnin menggunakan jawatannya sebagai pembantu tadbir gred N22 di institut tersebut untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan Syarikat Salam Rizqi Maju Enterprise bagi kerja perkhidmatan mengambil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok ke ILP Arumugam pergi dan balik yang bernilai RM550.

Syarikat tersebut adalah milik anak tertuduh, Mohamad Hafizul Asyraf Mohd Zulkrnin.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zulkrnin didakwa mendapatkan kerja pembekalan poster Covid-19 untuk kegunaan Jabatan Tenaga Manusia bernilai RM950 daripada syarikat yang sama pada 19 Jun 2020.

Tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kewangan selain perlu menanggung seorang anaknya yang masih bersekolah.
Tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kewangan selain perlu menanggung seorang anaknya yang masih bersekolah.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa telah menggunakan kedudukan jawatannya untuk mendapatkan kerja bekalan peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 bernilai RM4,790.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 18 Julai 2020 di tempat sama iaitu ILP Arumugam Pillai, Nibong Tebal.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh turut didakwa di atas pertuduhan keempat iaitu mendapatkan kerja bekalan makanan dan minuman untuk kegunaan institut tersebut bernilai RM600 manakala bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa mendapatkan bekalan Jata Negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan bernilai RM2,000.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 23 Julai 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 untuk kesemua pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azlan Basri di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mohd Azlan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dengan tiga syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai, perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu atau mendekati saksi kes.

Dalam rayuannya, Mohd Zulkrnin yang mempunyai tiga anak meminta agar wang jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung seorang anaknya yang masih bersekolah.

"Saya mohon wang jaminan dikurangkan kerana saya kekurangan wang berikutan pendapatan bulanan hanya RM1,200 selain perlu menanggung seorang anak saya yang masih bersekolah," rayu tertuduh.

Hakim Zulhazmi kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan ketiga-tiga syarat tambahan tersebut.

Kes ditangguhkan sehingga 21 Oktober untuk serahan kes.