Pas usaha selamatkan umat Islam daripada kemungkaran akidah

Abdul Hadi . (Gambar dalam : Tangkap layar kenyataan dimuat naik Abdul Hadi di laman Facebook.)
Abdul Hadi . (Gambar dalam : Tangkap layar kenyataan dimuat naik Abdul Hadi di laman Facebook.)
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berusaha menyelamatkan umat Islam secara khusus daripada kemungkaran akidah yang lebih besar dan berbahaya berbanding kemungkaran jenayah akhlak, syariat dan politik (rasuah dan lain-lain).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pada masa sama turut menentang secara tegas semua jenis kemungkaran tanpa terpilih jenis dan pelakunya.

"Sekalipun terhadap ahli malahan pemimpinnya sendiri, bukan terhadap lawannya sahaja.

"Pas beberapa kali mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpinnya kerana kemungkaran yang dilakukan.

"Islam mengharamkan seseorang itu bertindak kerana dendam terhadap lawannya semata-mata," katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook pada Rabu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas juga menyelamatkan manusia termasuk golongan bukan Islam daripada politik melampau yang merosakkan umat dan bangsanya sendiri.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, perkataan akidah seerti dengan perkataan iman, dan ia sama sekali tidak boleh disamakan dengan perkataan ideologi kerana akidah atau iman itu merupakan hidayah Allah SWT.

"Akidah itu hanya beriman kepada Allah SWT sebagai Pencipta alam dan segala peraturan-Nya.

Artikel Berkaitan:

"Kepercayaan yang disimpul dengan teguh yang dinamakan iman itu tiada keraguan sedikit pun. Sekiranya ada keraguan, maka imannya tidak sah atau akidah yang disimpulkan itu terungkai.

"Akidah atau iman itu bermaksud kepercayaan kepada Islam sebagai al-din (agama) daripada Allah SWT yang bersifat keagamaan yang sempurna, tidak seperti takrif agama yang lain," katanya.

Beliau menjelaskan ini kerana, ajaran Islam itu sempurna merangkumi segala aspek kejadian alam, termasuklah manusia dari sudut jasad dan roh, individu, keluarga dan masyarakat.

"Begitu juga soal politik, ekonomi dan lain-lain, wawasan akhirat mengikut perhitungan atau hisab akan dosa dan pahala, serta balasannya kelak. Islam sama sekali berbeza dengan ideologi yang berpisah daripada petunjuk agama.

"Akidah dan iman itu mempunyai sempadan yang wajib dijaga dalam semua urusan agama dan dunia, bahkan ia tidak boleh dilangkah dan dicerobohi sekali-kali. Dalam keadaan diri seseorang dan kumpulan itu dikawal oleh batas-batas iman dan kufur," jelasnya.

Beliau berkata, ideologi pula merupakan suatu teori yang menjadi sistem kepercayaan, hasil ciptaan manusia yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang.

"Pada lazimnya, ia merujuk kepada satu set kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakan politik dan sosial.

"Ideologi ialah teori ciptaan manusia mengikut akal mereka yang boleh berubah dengan mudah malah ia hanyalah terhad dalam aspek ekonomi, politik dan cara hidup yang terpisah daripada agama disebabkan konsep sekularisme yang menjadi terasnya.

"Bahkan, kesetiaannya kepada manusia dan undang-undang mengatasi kesetiaan kepada Allah SWT," ujarnya.

Beliau menambah, perhitungan soal dosa dan pahala hanya berlaku dalam urusan yang dinamakan agama sahaja, dan agama itu dipisahkan daripada urusan keduniaan.

"Bahkan, terdapat ideologi yang dianuti oleh golongan ateis yang tidak beragama dan menolak kepercayaan kepada Tuhan secara mutlak.

"Sehingga seorang Muslim yang berideologi sahaja boleh menyebabkan syahadah dan baiahnya dirungkai dengan mudah.

"Oleh itu, seorang yang menganut apa-apa ideologi boleh terjerumus melangkah sempadan ketetapan Allah SWT dalam urusan keduniaan seperti politik, ekonomi dan lain-lain," jelasnya

Katanya, adapun bagi PAS telah ditegaskan dalam Perlembagaannya pada Fasal 7(1) untuk mempertahankan akidah perjuangannya.

"Hal ini sebagaimana yang tertulis seperti berikut iaitu adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak' dan Qias yang terang dan nyata.

"Peranan Majlis Syura ‘Ulamak' ialah memelihara perkara dasar sehingga boleh membatalkan sebarang keputusan dan langkah Pas yang bercanggah dengan dasar parti.

"Selain itu, bagi melaksanakan tugas-tugas yang besar dalam parti dan kumpulan yang berakidah Islam, maka diwajibkan untuk berbaiah, tidak cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah dan bersumpah sahaja," ujarnya lagi.