Kuari runtuh: Cuaca, struktur batuan sukarkan operasi bomba

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi penemuan jengkaut dan rangka manusia di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto: Bomba Perak
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi penemuan jengkaut dan rangka manusia di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai. - Foto: Bomba Perak
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan kesukaran dalam misi mencari dan mengeluarkan dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di Perak pada Mac lepas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, antara cabaran dihadapi ialah faktor cuaca dan struktur batuan di kawasan kuari terbabit.

Mohammad Hamdan berkata, melalui kerja-kerja mencari dilakukan, cebisan rangka manusia pertama ditemui di kuari terbabit pada Selasa selepas enam bulan insiden runtuhan kuari itu.

“Memang ada cabaran risiko kerana kawasan-kawasan tersebut mungkin tidak berapa stabil dari segi struktur dan kekuatan batu-batuan, namun kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan melihat keadaan di persekitaran.

“Operasi mencari dan mengeluarkan rangka manusia masih berjalan di kawasan kuari berkenaan dengan satu rangka telah dikeluarkan pada Selasa,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau ditemui selepas lawatan dan tinjauan kesiapsiagaan dan aset JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kedah di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan (kanan) melakukan lawatan dan tinjauan kesiapsiagaan dan aset JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kedah pada Rabu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan (kanan) melakukan lawatan dan tinjauan kesiapsiagaan dan aset JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kedah pada Rabu.

Tambah Mohammad Hamdan, keadaan cuaca di kawasan berkenaan turut menyukarkan kerja mengeluarkan mangsa terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya berharap dapat mengeluarkan mangsa yang tertimbus melalui pelbagai kaedah digunakan termasuklah Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (STORM) meskipun operasi berkenaan tidak mudah.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan rangka tulang manusia ditemui bersama jengkaut oleh pasukan mencari dan menyelamat antara jam 11.45 pagi hingga 12.30 tengah hari di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai di Perak.

Difahamkan, cebisan rangka kedua tulang manusia ditemui kira-kira jam 12 tengahari pada Rabu, namun usaha mengeluarkan terpaksa dihentikan sementara tidak lama kemudian atas nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berikutan hujan lebat.

Dalam insiden runtuhan pada 8 Mac, dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, tertimbus bersama jentera digunakan mereka.

Sebelum ini, polis memberi jaminan operasi mencari dua mangsa terbabit tidak dihentikan walaupun kerja-kerja pencarian belum membuahkan hasil.