PRU musim banjir tidak sesuai: KKM

KKM menjelaskan PRU tidak sesuai diadakan pada musim banjir. - Gambar hiasan
KKM menjelaskan PRU tidak sesuai diadakan pada musim banjir. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan pilihan raya umum (PRU) tidak sesuai diadakan pada musim banjir.

Tegas Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ia mengambil kira faktor keselamatan, tenaga kerja dan kesihatan.

"Lazimnya kita elakkan (pilihan raya) pada waktu banjir kerana banyak tenaga kerja yang diperlukan sewaktu pilihan raya dikerahkan untuk menjaga kawasan pemindahan sementara (PPS) dan keselamatan rakyat," katanya.

Beliau berkata, fasiliti yang dijadikan pusat pengundian seperti sekolah turut digunakan sebagai PPS apabila berlakunya bencana itu.

"Penyakit berjangkit juga dijangka meningkat kerana risiko penyakit bawaan air," katanya.

Khairy berkata, perkara tersebut memerlukan persediaan KKM untuk memberi rawatan kepada masyarakat.

Itu belum lagi klinik-klinik yang ditenggelami air banjir atau kecederaan, demam dan selsema yang dihadapi orang ramai disebabkan cuaca," kata Khairy menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan KKM terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam penentuan tarikh PRU15.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pelaksanaan PRU semasa musim banjir dilihat bakal memberikan kesan terhadap aspek logistik, perbelanjaan dan kadar penyertaan pengundi.

Ditanya adakah cadangan dan input tersebut dikemukakan KKM semasa mesyuarat kabinet, Khairy berkata, ia merupakan suatu perbincangan umum.

"Soal tarikh, terpulang kepada Ismail Sabri untuk tentukan bilakah waktu sesuai," katanya.

Sebelum itu pada sesi sidang akhbar sama, Khairy berkata, beliau mungkin tidak akan lagi berada di KKM pada November depan.

Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa pembubaran Parlimen berlaku dalam tempoh tersebut.

Menjelaskan perkara itu, Khairy berkata, beliau mengambil perkiraan biasa politik dalam Malaysia yang mana paling lama tempoh PRU15 boleh diadakan adalah pertengahan tahun hadapan.

"Bukan bertahun-tahun. Boleh jadi berminggu-minggu.

"Saya terpaksa cakap begini kerana perlu biasakan pegawai sebab dalam tempoh pembubaran, sudah tidak ada menteri menerajui kementerian," katanya.

Ujarnya, setiap pegawai kanan kerajaan perlu bersedia dalam mendepani musim banjir yang dijangka melanda negara.

"Saya dah maklumkan, kalau saya sudah tak ada, contohnya pada November atau Disember, apa akan berlaku kepada Kertas Putih.

"Saya mahu Kertas Putih ini untuk semua, bukan saja KKM bawah saya tetapi untuk masa depan rakyat Malaysia.

"Kalau saya nak tunggu sehingga saat akhir satu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.