Pelantun suara latar iklan era 80-an, Ramly Abu Bakar meninggal dunia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyampai suara latar iklan dan pengacara popular sekitar era 70-an dan 80-an, Ramly Abu Bakar meninggal dunia pada usia 78 tahun, awal pagi Ahad.

Berita sedih itu dikongsi selebriti Darling Ngasri di Facebooknya hari ini selepas berita pemergian Ramly dimaklumkan oleh anak sulung Allahyarham.

"Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul 2.30 pagi tadi di rumah anaknya, di Kundang, Rawang. Jenazah akan dimandi dan dikafankan di Masjid Nurul Yakin, Kampung Permata Kundang sebelum disolatkan selepas solat Zohor hari ini,” menurut hantarannya di Facebook pada Ahad.

Bagaimanapun punca kematian penyampai berita televisyen veteran itu tidak dinyatakan.

Allahyarham pernah bertugas sebagai penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar awal 70-an malah dengan keunikan suaranya, beliau terkenal sebagai ‘suara emas’ kerana meminjamkan suara sebagai suara latar dalam pelbagai iklan radio dan televisyen.

Antara iklan yang hingga kini masih segar dalam ingatan peminatnya adalah iklan produk tembakau Dunhill, selain suaranya digunakan dalam mempromosikan rancangan televisyen.

Ramly juga pernah berlakon bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem berjudul Gagak Hitam sebagai watak pembaca berita, selain membintangi filem Menanti Hari Esok arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin pada 1977. - Bernama