Wanita pertama Malaysia berjaya tamat pengajian di USNA

Janusha (kanan)
Janusha (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Janusha Bala Krishnan Muthiah, 23, menjadi wanita pertama Malaysia menamatkan program Ijazah Pengajian dan Latihan Ketenteraan di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (USNA).

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan itu mula menjalani latihan ketenteraan di akademi itu pada tahun 2018 bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat (AS) dan 14 pelatih dari luar negara.

Majlis tamat pengajian yang diadakan baru-baru ini disempurnakan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama duta serta penasihat pertahanan dari pelbagai negara.

Kejayaan Janusha turut mendapat ucapan tahniah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menceritakan pengalamannya mengharungi cabaran di institusi ketenteraan berprestij di AS itu, Janusha berkata, ia bukan satu perkara yang mudah khususnya pada tahun pertama apabila dia perlu mengimbangi antara aspek kepemimpinan, akademik dan fizikal.

Katanya, antara saat paling tidak dapat dilupakan adalah ketika menyertai latihan Plebe Summer, iaitu progam latihan musim panas yang harus dilalui oleh semua penuntut di USNA selama tujuh minggu membabitkan latihan fizikal dan mental yang sukar.

“Hanya keazaman tinggi dan semangat berpasukan membolehkan pelatih melepasi ujian keras diatur," ujarnya yang masih berada di Amerika Syarikat.

Menurut Janusha, antara motivasi terbesar mendorongnya mencapai kejayaan itu adalah sokongan daripada keluarga termasuk ayahnya M Bala Krishnan, 59, yang meninggal dunia ketika dia berada di USNA.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini ibu saya, S Saraswathy, 59, menjaga adik yang kurang upaya. Ibu bapa saya sentiasa bekerja keras untuk mengubah hidup keluarga dan memberikan kami yang terbaik," katanya yang turut menamatkan pengajian di akademi tersebut dengan ijazah sarjana muda berganda dalam kejuruteraan komputer dan kejuruteraan elektrikal.