Polis rampas syabu bernilai RM8.53 juta di Segambut

Yahaya (tengah) menunjukkan bungkusan dadah dirampas dalam operasi terbabit.
Yahaya (tengah) menunjukkan bungkusan dadah dirampas dalam operasi terbabit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM8.53 juta dan menahan seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan Op Mohave di sebuah rumah di Segambut Dalam, di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman berjaya merampas 236 kilogram (kg) dadah dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis menjalankan empat serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Batu Gajah dan Tapah, Perak serta di Ulu Bernam, Selangor.

"Di Bukit Mertajam seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hentian rehat, manakala serbuan di sebuah rumah di Batu Gajah berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan.

"Polis menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah hentian rehat di sekitar Tapah dan seorang lelaki ditahan di Ulu Bernam dalam serbuan di sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Antara kenderaan disita disyaki milik sindiket.
Antara kenderaan disita disyaki milik sindiket.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit diseludup masuk dari utara sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai penerima dan pengedar. Kita percaya sindiket ini aktif sejak bulan Julai tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan suspek ini menganggur, tetapi ada antara mereka bekerja sebagai pembantu kedai, dan bekerja sendiri untuk selindung kegiatan sebenar mereka," jelas beliau.

Beliau berkata, semakan mendapati empat daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan lima daripada mereka didapati positif dadah.

Katanya, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza serta merampas barang kemas.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM8.96 juta.

"Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun direman tujuh hari bermula Ahad untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB)," ujar beliau.