Antara mandat rakyat dan percaturan politik

No Image Caption
A
A
A

KENYATAAN Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa gabungan tersebut sanggup meredah hujan dan banjir untuk berkempen sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada akhir tahun ini mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Presiden UMNO itu turut dilabel sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri, tidak prihatin dengan keadaan rakyat yang sudah pasti akan terkesan sekiranya banjir melanda, sekali gus turut mendatangkan kegusaran.

Bukan hanya bagi pihak rakyat, malah kenyataan Ahmad Zahid itu turut mendapat kecaman daripada ahli-ahli politik parti lain sehingga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan akan melakukan pungutan suara rakyat atau public referendum sebagai tindak balas terhadap kata-kata yang dianggap angkuh itu.

Pungutan tersebut bagi memberi signal kepada Ahmad Zahid dan BN bahawa rakyat mencemuh parti politik yang galak berebut kuasa hingga sanggup mengabaikan keselamatan rakyat.

Memang secara logik akal, pilihan raya umum yang diadakan pada musim tengkujuh akan menyusahkan orang ramai. Perbelanjaan agensi kerajaan juga akan meningkat kerana perlu mengeluarkan dana lebih besar bagi menangani pemulihan terutama di kawasan berisiko banjir.

Lihat sahaja kepada tragedi banjir yang berlaku di Shah Alam, Selangor dan Baling, Kedah sebelum ini, kerugian melibatkan nilai berjuta-juta ringgit. Bukan sedikit.

Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memberi peringatan bahawa sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, ada kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin Monsun Timur Laut aktif pada ketika itu.

Kuasa

Di sebalik pertikaian mengenai bila tarikh Parlimen patut dibubarkan, penulis sedikit hairan dengan situasi politik tanah air kini.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya pembangkang adalah pihak yang lantang menggesa pilihan raya umum diadakan, tetapi berlainan pula situasinya apabila BN yang berkuasa berterusan mahukan PRU15 disegerakan.

Bagi mereka yang percaya dan yakin dengan sistem demokrasi berparlimen di negara ini, sudah tentu faham dan mengetahui faktor di sebalik gesaan serta keperluan mendesak supaya PRU15 diadakan segera.

Pada hemat penulis, kerajaan pada hari ini yang terbentuk menerusi percaturan politik selepas ‘tersungkurnya’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) sukar membuat keputusan penting untuk negara kerana dianggotai pemimpin daripada parti-parti berlainan, sekali gus wujudnya runding-merunding, ugut-mengugut dan syarat-bersyarat.

Sudah tentu kemampuan kerajaan mentadbir negara diragui, atau lebih teruk lagi, sukar meraih kepercayaan daripada pelabur asing untuk melabur di negara ini. Jadi, cara yang terbaik ialah mengembalikan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan.

Namun persoalannya, apakah jalan terbaik untuk menjamin kerajaan dibentuk nanti hasil kemahuan rakyat dan bukannya percaturan ahli politik?

Bukankah rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil agar negara menjadi lebih baik pada masa akan datang?

Adakah pilihan raya umum merupakan jalan penyelesaian atau ada cara lain yang lebih baik?

Dalam keadaan negara yang sedang struggle dengan kejatuhan nilai ringgit, beberapa negeri dijangka terkesan dengan Monsun Timur Laut akan datang, kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan masih tinggi. Apa yang akan jadi seterusnya masih menjadi tanda tanya.

Benar juga kata-kata orang sekeliling, Malaysia bukan negara susah tetapi kita sedang memilih jalan yang susah.

Justeru pada pandangan penulis, boleh sahaja disegerakan PRU15 agar kerajaan lebih stabil dan kukuh dapat dibentuk, namun sekiranya ia menyusahkan rakyat dan ada perkara lain yang perlu diberi perhatian, elok ditangguhkan dahulu.

Benar, rakyat mahukan PRU15, tetapi bukan ketika berhadapan situasi kecemasan.

Ahli politik pula janganlah menngambil peluang atas kesusahan orang ramai. Sebaliknya, letakkanlah rakyat sebagai keutamaan, politik kemudian.

* Diana Aziz ialah Wartawan Sinar Harian