Jangan sampai sukan bola sepak suram

Faisal boleh kembali bermain dan berpeluang pulih berdasarkan penilaian doktor pakar.
Faisal boleh kembali bermain dan berpeluang pulih berdasarkan penilaian doktor pakar.
A
A
A

SEMINGGU sebelum aksi Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada 11 Mei 2024, peminat bola sepak negara dikejutkan dengan tiga insiden serangan jenayah terhadap pemain utama skuad kebangsaan.

Insiden bermula dengan pemain sayap Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, apabila pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan pada kepala selepas dipukul dan menjadi mangsa samun pada 2 Mei.

Ketika pihak polis giat mencari pelakunya, penyokong skuad Merah Kuning pula digemparkan dengan kejadian lebih tragis apabila Faisal Halim disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 5 Mei lalu.

Insiden menimpa Faisal atau lebih dikenali Mickey, 26, merupakan kejadian malang kedua sebelum disusuli insiden serangan terhadap seorang lagi pemain skuad kebangsaan, Safiq Rahim, 37, yang juga pemain pasukan JDT.

Tempoh ketiga-tiga kejadian tersebut berlaku selang dua hari antara satu sama lain.

Antara ketiga-tiga kes terbabit, kecederaan dialami Faisal paling mendapat perhatian apatah lagi beliau dilaporkan melecur tahap empat selain pergerakan serta percakapannya terbatas.

Lebih menyedihkan, Faisal juga berkemungkinan tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya lima atau enam bulan.

Ini bermakna Faisal akan terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu turut menimbulkan kegusaran ramai pihak berhubung sejauh mana pemain sayap sensasi Harimau Malaya itu boleh pulih dan kembali beraksi seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan pelbagai pihak, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar membawa khabar positif bahawa Faisal boleh kembali bermain dan berpeluang pulih berdasarkan penilaian doktor pakar.

Ia sekali gus melegakan penyokong bola sepak tanah air yang masih merindukan 'siuu' daripada pemain kelahiran Pulau Mutiara itu.

Setakat ini, dua suspek telah ditahan bagi siasatan terhadap kes Faisal tetapi telah dibebaskan, manakala beberapa suspek masih lagi diburu termasuk melibatkan kes serangan terhadap Akhyar dan Safiq.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada 9 Mei lalu berkata, berdasarkan siasatan ketika ini, ketiga-tiga serangan didapati menggunakan corak dan modus operandi serangan yang sama namun belum dapat memastikan motifnya.

Kita berharap pihak polis dapat menyelesaikan segera kes ini, sekali gus mengungkai motif serangan dilakukan agar insiden serupa tidak berulang kepada atlet lain atau menjadi trend baharu penjenayah.

Apa yang pasti, siri serangan terhadap pemain-pemain itu telah menimbulkan kegusaran ramai pihak dalam arena bola sepak tempatan.

Kesannya boleh dilihat apabila Selangor FC yang juga Naib juara Liga Super 2023 pada 8 Mei lalu membuat kejutan dengan menarik diri daripada Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mei selepas mengambil kira aspek keselamatan sebagai faktor utama.

Kebimbangan turut melanda beberapa pengurusan kelab yang memberi kenyataan akan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap pemain dan pegawai pasukan masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, kita berharap isu serangan ini ditangani segera bagi memastikan arena bola sepak negara tidak terjejas dan menjadi suram.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut menegaskan semua pihak perlu menggembleng tenaga memulihkan kembali imej dengan mengatasi permasalahan yang timbul termasuk FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengelola Liga Malaysia (Liga-M).

Banyak pihak mahu melihat Harimau Malaya terus bangkit dalam sukan bola sepak apatah lagi kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-138 dunia menerusi kemas kininya bulan lalu.

Jadi tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ini bukannya masa untuk kita terus diganggu dengan isu-isu yang boleh melemahkan skuad Harimau Malaya sebaliknya perlu saling menyokong untuk terus memperhebatkan lagi sokongan terhadap sukan bola sepak negara sekali gus mampu memperbaiki mutu permainan dan berada di kedudukan ranking terbaik.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Content Editor Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!