Bukan tak tahu, tapi sengaja ikut nafsu

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PENDEDAHAN Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini antara yang ramai dijangkiti HIV disebabkan amalan seks songsang atau gay adalah satu hakikat yang amat ‘menyeramkan’ dan perit untuk diterima.

Ia diperkukuhkan lagi dengan statistik Kementerian Kesihatan tahun lepas yang mendedahkan sebanyak 77 peratus golongan muda dijangkiti virus bahaya itu berusia 20 hingga 39 tahun.

Malaysia, apa sudah jadi dengan anak muda kita? Sudahlah negara berada dalam situasi politik tidak menyenangkan, keadaan ekonomi rakyat belum pulih, kini berdepan pula krisis kebobrokan moral belia harapan bangsa yang semakin nazak.

Laporan Sinar Harian baru-baru ini mendedahkan 11 aplikasi yang boleh dimuat turun dalam talian, khusus untuk mencari pasangan seks dari golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ramai kaum ini sudah berani membuat pengakuan berkenaan orientasi seksual mereka di Instagram dan TikTok.

Tanpa segan silu, mereka membuat content berupa video, malah ketika bersiaran secara live menceritakan siapa diri mereka yang sebenar.

Kemudian ramailah yang ‘sejenis’ turut memberi komen-komen.

Kita sebenarnya sudah penat mencari salah siapa. Adakah silap ibu mengandung, didikan keluarga, atau guru-guru di sekolah tidak sempurna?

Artikel Berkaitan:

Ini mustahil kerana kebanyakan pengamal LGBT menerima ajaran agama secukupnya sejak kecil.

Mereka sudah tahu dari peringkat prasekolah lagi bahawa dalam norma asasi manusia, pasangan lelaki adalah perempuan dan begitu juga sebaliknya.

Apakah salah media dan juga pengaruh media sosial dari barat?

Jawapannya bukan salah sesiapa tetapi diri pengamal LGBT itu sendiri. Mereka bukan tidak tahu, tetapi terlalu mengejar tuntutan nafsu.

Memang tidak ada solusi lain untuk membetulkan keadaan ini selain bertaubat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman masing-masing menegaskan bahawa yang terjebak ini harus dipimpin semula.

Mereka perlu kembali dibimbing supaya mencintai agama, menjaga solat lima waktu dan berjinak-jinak dengan pelbagai aktiviti kebajikan supaya masa mereka terisi perkara berfaedah, selain ia mampu mengawal nafsu.

Mengapa memilih untuk jadi songsang sedangkan jalan yang betul itu lebih indah!