Warga emas maut, van terbabas

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Seorang warga emas warganegara Brunei maut apabila van yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di KM105 Jalan Kuching-Simunjan semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu.

Beliau berkata mangsa yang maut dalam kejadian 1.40 tengah hari itu dikenali sebagai Aslinda Abdullah, 61, manakala lima penumpang lain dan seorang pemandu yang berusia antara 54 hingga 81 tahun mengalami kecederaan.

"Dalam kejadian tersebut, van itu sedang dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Serian.

“Difahamkan, van itu cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Akibat daripada kejadian itu, van tersebut hilang kawalan lalu terbabas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Alexson berkata, kesemua mangsa cedera yang merupakan warganegara Brunei itu kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk menerima rawatan.

Pemandu van ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan: