Tun Mahathir juga pernah buat PRU pada November

Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Ahmad Zahid di laman Facebook miliknya.
Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Ahmad Zahid di laman Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan pembangkang yang menghasut rakyat kononnya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini terdedah kepada banjir.

Ahmad Zahid berkata, PRU pernah diadakan pada bulan November pada tahun 1999 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad namun ia tidak pula dijadikan isu besar oleh pembangkang.

“Mereka lupa bekas Perdana Menteri terakhir mereka iaitu Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 dan ia tak pula jadi isu besar. Terbaharu tahun lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Dr Mahathir tak mahu serah jawatan kepada Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal laksanakan.

“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Pada Sabtu Ahmad Zahid menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir.

Beliau menambah BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini bermakna jentera BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran parlimen dan pilihan raya umum.

“Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.

“Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya dan mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya perlu membuktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya.

“Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata. Manifesto yang mereka kemukakan tidak mereka laksanakan dan dianggap bukan kitab suci.

“Tindakan ini digunakan untuk menghalalkan mereka yang gunakan manifesto melangit hanya untuk memancing undi untuk menang,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, BN sebagai blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir tidak bersifat populis dan menjual harapan seperti PH.

“Yang dijanjikan ialah komitmen realistik yang boleh dicapai berdasarkan situasi prestasi ekonomi semasa. Sebab itu, BN boleh sahaja jadi populis untuk janjikan tol percuma, pendidikan percuma seperti manifesto palsu PH.

“Tetapi BN tak sedemikian sebab BN tahu untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak logik kerana setiap penghutang perlu melunaskan hutang dan ini juga dituntut dalam Islam,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, begitu juga menawarkan pendidikan percuma di universiti adalah tindakan populis.

“Sedangkan kita memerlukan pendapatan untuk membayar gaji pensyarah, kakitangan sokongan universiti, menyelenggarakan kolej universiti, melanggan bahan rujukan perpustakaan universiti, membiayai peruntukan bagi meningkatkan lagi pembelajaran, penyelidikan dan pengajaran universiti untuk anak bangsa negara.

“BN sedar hakikat ini dan tidak akan menipu rakyat dengan janji muluk-muluk seperti ini. PH berbuat demikian dan menjual janji kosong biarlah mereka dihukum rakyat pada PRU15 ini,” tambahnya lagi.