Kukuh kerjasama politik, tutup ruang PH kembali berkuasa

Mohd Azam Abd Samat
Mohd Azam Abd Samat
A
A
A

ALOR SETAR - Seruan untuk terus memperkukuhkan kuasa politik umat Islam dalam negara ini mesti diteruskan menjelang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) agar dapat menutup peluang PH untuk kembali berkuasa.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, kerjasama bersama parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), aktivis yang tidak ekstrim diperlukan bagi memperkukuhkan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara ini.

Menurut beliau, agama Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas tidak membenarkan penganutnya menzalimi bangsa dan agama lain serta melakukan perkara yang membawa kepada kemurkaan ALLAH.

"Jom sokong Pas dan gagasan penyatuan ummah dan menolak khemah besar PH untuk Malaysia yang Sejahtera," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata demikian menyokong ketegasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PH perlu ditolak berdasarkan tempoh 22 bulan pemerintahannya sebelum ini yang merugikan umat Islam dan rakyat di negara ini.

Menurutnya, Pas mempunyai 'pengalaman panjang' dengan DAP yang menjadi antara komponen parti politik dalam PH.

Dakwanya, banyak janji dan persefahaman yang mereka tidak tepati di samping campur tangan dalam usaha Pas mengangkat Islam sebagai cara hidup.

Mereka merencanakan perpecahan dalaman Pas untuk melemahkan politik umat Islam dalam negara kita. Sesuai dengan apa yang ditulis dan ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden Pas baru-baru ini, maka Pas Kedah amat menyokong ketegasan tuan guru.

Artikel Berkaitan:

"Pas Kedah melihat usaha dilaksanakan PH sepanjang tempoh 22 bulan memerintah, merugikan umat Islam dan rakyat Malaysia. Politik dendam, rakus dalam tindakan, pilih kasih dalam tuduhan penghakiman, salah guna kuasa dan banyak lagi tindakan mereka akan membawa bencana kepada negara," ujar beliau.

Mohd Azam berkata, ratifikasi ICERD, Statute Rom, “manifesto bukan kitab suci”, isu skandal rasuah terowong, projek tambak tiga pulau buatan dan pelbagai provokasi politik menyebabkan rakyat tidak dapat tidur lena.

Jelasnya, selepas kejatuhan PH akibat perpecahan dalaman, perebutan kuasa sesama sendiri, Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dan berjaya “merawat” luka membarah 22 bulan PH berkuasa.

Pada 15 September lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.