Rumah pusaka lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran

Hon Hin (kiri) bersama isteri, Sek Kiau melihat rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, di Kuala Terengganu pada Isnin.
Hon Hin (kiri) bersama isteri, Sek Kiau melihat rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas terpaksa menanggung kerugian RM100,000 setelah rumah pusaka didiami sejak lebih 100 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, di sini, dalam kejadian pada malam Ahad.

Kwee Hon Hin, 77 berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Chong Sek Kiau, 74, berada di rumah manakala tiga anak, seorang menantu dan seorang cucu tiada di rumah.

"Saya dan isteri sedar kebakaran merebak daripada premis bersebelahan rumah kira-kira jam 8.30 malam.

"Kami berdua tidak berfikir panjang waktu itu dan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri sahaja. Kami keluar rumah sehelai sepinggang dan tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita, di lokasi kejadian, pada Isnin.

Hon Hin berkata, selain menjadi tempat tinggal, rumah itu turut dijadikan premis perniagaan isterinya untuk menghasilkan keropok lekor sejak 15 tahun lalu.

"Banyak barangan berharga musnah antaranya mesin memproses keropok, empat peti sejuk, barangan kegunaan rumah serta barangan perniagaan.

"Terdapat sebuah motosikal klasik 250cc merupakan antara koleksi barangan kesayangan saya yang disimpan di dalam rumah itu turut musnah dalam kebakaran," katanya.

Menurut Hon Hin, insiden kebakaran pernah berlaku di rumah itu kira-kira 40 tahun lalu iaitu pada 1983 melibatkan kerugian dan kos membaiki semula kira-kira RM50,000.

Artikel Berkaitan:

"Waktu itu sebahagian kediaman sahaja yang terbakar dan saya berjaya baiki semula rumah ini. Kali ini kebakaran teruk dan memusnahkan 100 peratus kediaman.

"Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan mungkin saya sudah tidak akan tinggal di sini lagi kerana semua kenangan bersama rumah ini turut musnah," ujarnya yang merupakan generasi ketiga tinggal di rumah tersebut.

Tambah Hon Hin, rumah pusaka itu telah didiami sejak mendiang datuknya dan diwarisi kepada bapanya sebelum dia bersama anak-anaknya tinggal di situ.

Hon Hin (kiri) bersama isteri, Sek Kiau di pekarangan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu dalam kejadian pada malam Ahad.
Hon Hin (kiri) bersama isteri, Sek Kiau di pekarangan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu dalam kejadian pada malam Ahad.

Sementara itu, Sek Kiau meluahkan rasa sedih namun pasrah dengan apa berlaku dan menyifatkan ia sebagai dugaan perlu dihadapi.

"Sedih memang sedih sebab banyak barangan berharga terutama pinggan mangkuk pusaka peninggalan keluarga saya habis musnah dalam kebakaran.

"Saya juga terpaksa ke hospital pagi ini untuk mendapatkan ubat kerana semua ubat-ubatan yang perlu dimakan setiap hari hangus dalam kebakaran," katanya mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA Terengganu, Ng Phei Jin, berkata, parti itu akan menyalurkan bantuan kecemasan RM300 kepada mangsa kebakaran mengikut kesesuaian mangsa.

Katanya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mengarahkan pihaknya membuat analisa terperinci untuk membantu mangsa memulakan kembali perniagaan masing-masing di lokasi baharu jika bersesuaian.

Malam Ahad lalu, sebanyak 12 unit rumah kedai hangus dijilat api melibatkan lima rumah kedai 100 peratus terbakar, sebuah rumah kedai (90 peratus terbakar) manakala selebihnya melibatkan kebakaran 50 dan 30 peratus.

Insiden itu melibatkan kedai kain, kedai jahit, kedai emas, kedai makan serta penginapan.